Individu sengaja baling botol kaca diburu polis

Tular video memaparkan seorang lelaki membaling botol kaca dari tingkat atas sebuah apartment ke arah jalan raya yang sesak pada Jumaat.
Tular video memaparkan seorang lelaki membaling botol kaca dari tingkat atas sebuah apartment ke arah jalan raya yang sesak pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang individu yang membaling botol dari sebuah premis kediaman menerusi satu video tular membawa padah apabila diburu polis.

Video berdurasi seminit 43 saat itu dimuat naik menerusi Tik Tok sebelum tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah premis kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur telah mengenal pasti individu terlibat dan tindakan pengesanan sedang dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, perbuatan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang.

"Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Pada Jumaat, tular video memaparkan seorang lelaki membaling botol kaca dari tingkat atas sebuah apartment ke arah jalan raya yang sesak.