KPT pertaruh 4 pasukan terbaik cabar kejuaraan kebangsaan

Dr Megat Sany (belakang lima kiri), Norisma (belakang empat kiri) dan Dr Pekan (belakang enam kiri) bersama KPT-MASUM Knights (sepak takraw) di Putrajaya. FOTO: KPT
Dr Megat Sany (belakang lima kiri), Norisma (belakang empat kiri) dan Dr Pekan (belakang enam kiri) bersama KPT-MASUM Knights (sepak takraw) di Putrajaya. FOTO: KPT
A
A
A

EMPAT pasukan terbaik institusi pendidikan tinggi (IPT) akan dihantar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyertai kejohanan peringkat kebangsaan bagi musim ini.

Pasukan itu skuad bola sepak Malaysia University Football Team (MUFT), KPT-PST Mustangs (futsal), KPT-UNITEN THUNDER (hoki wanita) dan KPT-MASUM Knights (sepak takraw).

MUFT dipacu 27 pemain, bakal bersaing dalam Liga M3 2023 manakala KPT-PST Mustangs menggalas cabaran Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2023 dengan kekuatan 21 atlet.

KPT-UNITEN Thunder pula yang melibatkan kekuatan 13 pemain akan menyingkap saingan TNB Liga Hoki WANITA Malaysia 2023.

Status naib juara 2022 dan muncul juara Piala Vivian May Soars kali ketiga, pasukan menyasarkan juara liga pada 2023 ini dan turut mengekalkan kejuaraan Piala Vivian May Soars.

KPT-MASUM Knights yang muncul naib juara Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) 2022 dan beraksi di Liga Juara-Juara menggalas cabaran di Liga Premier 2023 dengan sasaran empat pasukan terbaik.

Majlis pengenalan pasukan IPT ke Liga Kebangsaan 2023 dan penyerahan buku manual terbitan seksyen sukan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, turut hadir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Norisma Mohd Ismail.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, "Sasaran KPT kepada empat pasukan itu tidaklah mustahil untuk dicapai cuma mungkin sedikit mencabar untuk pasukan Hoki Wanita PKS-Uniten agar menyapu dua kejuaraan sekaligus musim ini.

“Saya juga yakin ada kejutan yang boleh dilakukan regu Sepaktakraw KPT-Masum-Knights yang layak beraksi dalam STL Premier buat kali pertama.

"Begitu juga peningkatan yang diharapkan daripada pasukan bola sepak Universiti Malaysia dan pasukan Futsal PST-Mustang di MPFL musim ini bersandarkan kepada persiapan yang lebih baik musim ini.”