#Sinar4NZMartyrs: Baki RM71,000 diserah kepada tabung masjid

Hussamuddin
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Baki RM71,000 yang disumbang rakyat Malaysia dalam tabung #Sinar4NZMartyrs akan diserahkan kepada tabung Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sejak dilancarkan pada 16 Mac lalu susulan serangan pengganas ketika solat Jumaat di dua masjid tersebut, tabung khas itu berjaya mengumpul sebanyak RM161,375.73.

Menurutnya, sebanyak RM90,000 telah dikeluarkan dan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mewakili Kerajaan Malaysia menziarahi mangsa di New Zealand pada 21 Mac.

Katanya, sebanyak lima sampul disampaikan kepada Mujahid untuk diserahkan kepada keluarga Rahimi Ahmad sebanyak NZD2,500, keluarga Mohd Tarmizi dan Mohd Haziq Shuib sebanyak NZD5,000 dan keluarga Mohd Nazril Hisham Omar sebanyak NZD2,500

"Sementara dua lagi sampul berjumlah NZD13,000 dan RM24,450 diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di New Zealand," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sumbangan tabung #Sinar4NZMartyrs RM93,000 dibawa ke NZ

Beliau berkata, tujuan tabung tersebut ditubuhkan bagi membantu keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, selain membaiki masjid yang rosak.

"Sebagai sebuah yarikat yang prihatin, kami ikhlas membantu keluarga mangsa khususnya dari Malaysia, malah sebelum ini Kumpulan Media Karangkraf juga pernah menubuhkan tabung kemanusiaan untuk membantu mangsa gempa dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, baki daripada tabung tersebut tidak lagi diberikan kepada keluarga mangsa kerana mereka telah mendapat bantuan penuh dari Kerajaan New Zealand.

"Tabung secara rasmi telah ditutup pada 7 April lalu. Kumpulan Media Karangkraf mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan sebagai tanda solidariti.

"Baki sumbangan akan diserahkan kepada Wiswa Putra dalam masa terdekat untuk dihantar kepada dua masjid berkenaan," katanya.

Pada 15 Mac lalu, New Zealand digemparkan dengan insiden serangan pengganas di dua masjid iaitu Al Noor dan Linwood di Christchurch semasa solat Jumaat yang menyaksikan 50 nyawa terkorban dan lebih 40 orang lagi cedera.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia