KL City rampas Piala Menteri Wilayah Persekutuan

Pemain KL City FC bersorak selepas menjaringkan gol ketika Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 di antara pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. - Foto: Bernama
Pemain KL City FC bersorak selepas menjaringkan gol ketika Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 di antara pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. - Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR (KL) City FC mengubati kekecewaan edisi lepas apabila menjulang Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 selepas menewaskan Perak FC 3-0 pada pertembungan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam ini.

Pemain import baharu, Herlison Caion yang terlepas peluang memecah kebuntuan selepas tandukannya tersasar pada minit ke-32 berjaya meletakkan pasukan di hadapan dua minit kemudian menerusi sepakan penalti, menewaskan penjaga gol See Tian Keat.

Pengadil Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi memberikan sepakan penalti selepas pemain pertahanan Perak Muhammad Hafizal Mohamad Alias mengasari pemain tengah KL City Romel Morales.

Perak yang dibimbing Datuk Lim Teong Kim hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan namun percubaan dari luar kotak penalti penyerang import Christian Obiozor selepas menerima umpanan rakan sepasukan sekadar menggegar palang.

Bersambung babak kedua, KL City memulakan aksi dengan baik dan hampir menggandakan kedudukan tetapi Caion mensia-siakan peluang terhidang apabila gagal meletakkan bola di jaring dalam situasi satu lawan satu berdepan Tian Keat pada minit ke-48.

Bagaimanapun, gol kedua skuad The City Boys bimbingan Bojan Hodak menjelma jua apabila kapten Paulo Josue yang tidak dikawal tenang melepaskan rembatan dari jarak dekat pada minit ke-53.

Jaringan Giancarlo Gallifuoco menerusi tandukan berpunca sepakan penjuru pada minit ke-74 menutup peluang kebangkitan Perak dan melengkapkan kemenangan 3-0 KL City sekali gus merampas semula gelaran juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan.

Kejayaan itu menyaksikan KL City merangkul gelaran kedua selepas muncul juara sulung pada edisi 2021 sebelum bertukar tangan kepada Negeri Sembilan FC musim lepas.

Kemenangan malam ini turut menyaksikan juara Piala Malaysia 2021 berjaya merakam kemenangan pertama dalam tempoh pramusim selepas mencatat keputusan seri, masing-masing menentang Terengganu FC dan Kelantan United FC bulan lepas.

Sementara Perak mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam tempoh pramusim selepas tewas di tangan Penang FC bulan lepas.

Kedua-dua pasukan akan memulakan saingan Liga Super pada 25 Feb ini dengan KL City dijadual menentang Penang FC di sini manakala Perak akan bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium Perak, Ipoh.

Dalam pada itu, aksi malam ini diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Bernama