Remaja perempuan maut motosikal rempuh kereta

No Image Caption
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang remaja perempuan maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kereta di Kilometer 14, Jalan Kuala Kangsar-Manong pada Sabtu.

Nahas itu menyebabkan mangsa, Nurul Afizah Mohamad Zubir, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bahtiar Yaacob berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kereta yang dipandu lelaki warga emas berusia 69 tahun ketika membelok ke kanan.

"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang dari arah Manong menuju ke Kuala Kangsar, tiba-tiba kereta yang berada di bahu jalan sebelah kiri telah masuk ke laluan motosikal.

"Kereta terbabit mahu membelok ke kanan untuk memasuki lorong Kampung Sementa, Kuala Kenas. Mangsa yang sedang mara tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kanan kenderaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Tambah Omar Bahtiar, pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.