Program autisme YBR, UniMAP tingkat pendidikan golongan istimewa

Mohd Irwan (dua dari kanan) menyerahkan mock cek Program Autism Hub for Education Resources & Training (A-Heart) kepada Prof Dr Zaliman (dua dari kiri) disaksikan Tuanku Syed Faizuddin.
Mohd Irwan (dua dari kanan) menyerahkan mock cek Program Autism Hub for Education Resources & Training (A-Heart) kepada Prof Dr Zaliman (dua dari kiri) disaksikan Tuanku Syed Faizuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bekerjasama mengadakan program 'Autism Hub for Educational Resources and Training (A-Heart)', bagi meningkatkan pendidikan yang lebih inklusif kepada golongan istimewa.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, kerjasama berkenaan merupakan langkah positif bagi memastikan anak-anak autisme mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Ujarnya, anak-anak autisme dalam kalangan keluarga B40 komuniti Perlis telah terpilih menyertai program tersebut yang dijalankan sepanjang tahun.

"Program ini bertujuan untuk menyediakan sesi terapi deria dan cara kerja kepada kanak-kanak dan remaja autisme di mana 48 sesi terapi setahun telah dirancang.

"Selain menawarkan sesi diagnosis keperluan terapi anak autism bagi memastikan pendekatan terapi yang efektif serta menyediakan sokongan kemudahan pengangkutan dikalangan mereka yang menghadapi kekangan menghantar anak mereka mengikuti sesi terapi.

"Justeru, galakan dan dorongan perlu diberikan kepada golongan anak-anak autism di mana ia sedikit sebanyak dapat memberi fokus dalam mengembangkan potensi dikalangan kanak-kanak istimewa ini”, katanya pada majlis Hi-Tea Limpahan Piskanita and A-Heart.

Raja Muda Perlis selaku Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah mencemar duli ke Dewan Ilmu di UniMAP, pada Sabtu.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis selaku Pro Canselor UMP, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir dalam sesi ini adalah Naib Canselor UniMAP, Profesor Dr Zaliman Sauli, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagian Operasi, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporatnya, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Tambah Mohd Irwan, inisiatif YBR itu juga secara tidak langsung menjadi platform kepada anak-anak istimewa untuk mendapat peluang pemulihan dan pendidikan mengikut tahap keupayaan dan keperluan masing-masing.

"Golongan istimewa ini berbeza dengan mereka yang normal tetapi tetap mempunyai kelebihan akal fikiran dan kemahiran.

"Diharapkan sokongan berterusan dari semua pihak terutamanya daripada ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta mampu mempunyai masa hadapan yang cerah sama seperti mereka yang lain untuk hidup lebih sempurna," ujarnya.

Untuk rekod, bagi tahun 2022, seramai 33,903 penerima manfaat telah menyertai program pembangunan masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 72 program melalui inisiatif Program Pembangunan Masyarakat tersebut.