Pertemuan selepas 40 tahun imbau kenangan keluarga Nik Ismail

Mohd Asyraf (kiri) dan Tuan Hasmarina (dua dari kiri) beramah mesra bersama ahli keluarga sempena Majlis Kesyukuran dan Perjumpaan Keluarga Besar Haji Nik Ismail dan Hajah Wan Zainab pada Sabtu.
Mohd Asyraf (kiri) dan Tuan Hasmarina (dua dari kiri) beramah mesra bersama ahli keluarga sempena Majlis Kesyukuran dan Perjumpaan Keluarga Besar Haji Nik Ismail dan Hajah Wan Zainab pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertemuan semula selepas lebih 40 tahun membangkitkan nostalgia pada zaman kanak-kanak selain dapat mengenali ahli keluarga baharu.

Menurut Mohd Asyraf Yasin, 49, tugasnya sebagai Pakar Perancangan Pembinaan di sebuah syarikat Eropah menuntutnya sentiasa berjauhan dengan keluarga.

Mohd Asyraf yang pernah tinggal di Arab Saudi selama lima tahun atas tuntutan kerja berkata, pertemuan yang dirancang ahli keluarga itu memberi peluang beliau mengenali lebih ramai ahli keluarga lain.

"Selain mengeratkan silaturahim, saya dapat mengimbau kenangan bersama saudara jauh dan dekat serta berkenalan dengan generasi baharu dalam keluarga kami," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Kesyukuran dan Perjumpaan Keluarga Besar Haji Nik Ismail dan Hajah Wan Zainab di sini pada Sabtu.

Mohd Asyraf yang juga cicit pertama Nik Ismail dan dan Wan Zainab memberitahu, dia mengambil cuti khas untuk menghadiri majlis berkenaan dan turut membawa isterinya, Tuan Hasmarina Tuan Man, 48.

Sementara itu, pengurus program, Datuk Faridah Mohd Ali berkata, majlis kali pertama itu dihadiri kira-kira 350 ahli keluarga dari lima generasi yang sanggup pulang ke Kelantan termasuk dari luar negara.

"Idea ini dapat direalisasikan selepas empat bulan merancang dan mesyuarat pertama diadakan pada awal Januari lalu," katanya.

Jelas beliau, pelbagai aktiviti diadakan sesuai usia termasuk tahlil untuk ahli keluarga, permainan kanak-kanak serta tayangan video yang memaparkan salasilah keluarga besar mereka.