[VIDEO] Shahrir sah tak pertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian

Shahrir
Shahrir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tan Sri Shahrir Abdul Samad sah tidak akan bertanding pada pemilihan parti bagi mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas UMNO Johor di Bangunan UMNO pada Sabtu.

Beliau berkata, UMNO Johor menghormati keputusan Shahrir yang mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru yang disandang sejak lebih 40 tahun lalu.

"Itu bermakna beliau tidak lagi dalam perhubungan UMNO Johor selepas ini. Maka kita ucapkan terima kasih dan hargai sumbangan beliau selama ini dalam UMNO Johor," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor pada Sabtu.

Dalam pada itu, Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru ketika ditemui pemberita menjelaskan keputusan tersebut dibuat bagi membolehkannya memberi fokus kepada urusan peribadi.

"Ini membolehkan saya jadi 'Shahrir' semula. Sama ada saya masih aktif bersuara di media sosial (Facebook Tok Uban), itu belum tahu lagi," ujarnya.

Tegasnya, keputusan itu tidak dipengaruhi oleh keputusan mahkamah yang dihadapinya sebelum ini.

Pada 5 Januari lalu, Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas satu pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).