Adik suka buka al-Quran

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Yusof
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Yusof
A
A
A

BENTONG - "Adik memang sering berjalan kaki kira-kira tiga kilometer ke masjid dan rutinnya membuka al-Quran," kata Abu Hassan Idris, 68, selepas adiknya ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Paya Pelantar di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Mohd Yusof Idris, 65, yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan ditemukan rentung dalam keadaan terlentang di bilik mangsa.

Senaskhah al-Quran juga ditemui dalam keadaan hanya sedikit terbakar dan masih elok di atas katil di sisi mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU).

Ujar Abu Hassan yang tinggal di Kuantan, adiknya yang juga anak kelima dari enam beradik itu mengalami masalah mental sejak kecil dan tidak tahu membaca atau menulis tapi mampu membaca surah-surah pendek.

"Setiap kali bangun tidur dia (mangsa) akan terus membuka al-Quran helaian demi helaian, begitu juga ketika berada di masjid dan surau seolah-olah membaca setiap helaian tetapi dia mengulang membaca surah pendek.

"Dia dengar ustaz kata kalau tidak boleh baca tetapi mendengar dan membuka al-Quran juga dapat pahala, itu yang menyebabkan dia sering membuka al-Quran," kata dia kali terakhir menemui adiknya seminggu lalu.

Senaskhah al-Quran ditemui hanya sedikit terbakar dan masih elok di sisi mangsa di dalam bilik.
Senaskhah al-Quran ditemui hanya sedikit terbakar dan masih elok di sisi mangsa di dalam bilik.

Sementara itu, kakak mangsa, Zaiton Idris, 70, tidak menyangka kedatangan adiknya ke rumahnya pada Khamis meminta masak sup ayam menjadi hidangan terakhir mangsa.

"Jarang dia datang makan di sini dan semalam (Khamis) dia menyatakan sungguh sedap sup ayam dan meminta bekal untuk dibawa pulang sebelum saya menghantar sup ayam ke rumahnya," ujar dia.

Zaiton yang tinggal bersebelahan rumah adiknya memberitahu, semasa kejadian dia bersama ahli keluarganya berada di surau kampung yang mengadakan program bacaan Surah Yasin.

"Kami terkejut apabila ada seorang remaja datang dan memberitahu rumah terbakar dan kami bergegas balik tetapi api sudah begitu marak memusnahkan rumah.

"Jiran yang awal melihat kebakaran menyatakan hanya mendengar bunyi letusan kebakaran dan tidak mendengar jeritan mangsa," ujar Zaiton.