Hannah akur peruntukan ahli Parlimen dikurangkan

Hannah
Hannah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memutuskan supaya peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen dikurangkan tahun ini.

Hannah berkata, beliau masih belum diberi taklimat secara terperinci mengenai pengurangan peruntukan berkenaan, yang dijangka diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023.

"Kita belum ada taklimat mengenai penggunaan peruntukan tersebut, tetapi saya rasa kita akan ikut nasihat kabinet.

"Kalau itu yang diperuntukkan, kita akan tunggu penerimaan. Kita tunggu dulu untuk sidang Bajet 2023, akan bermula tak lama lagi," kata Ahli Parlimen Segambut itu ketika ditemui ketika program 'hiking' bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri mengesahkan terdapat pengurangan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Anwar dilaporkan berkata, pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Elaun tersebut merupakan peruntukan pembangunan untuk ahli Parlimen, selaras dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Pembangunan Negeri.

Bagaimanapun, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi peruntukan pembangunan tambahan kepada ahli Parlimen bagi projek mendesak seperti memperbaiki infrastruktur surau, jalan raya dan sungai yang mengalami kerosakan.