IUKL, Yayasan Petronas empowerNCER Akademik serah alat bantu mengajar alaf baru

A
A
A

No Image Caption

IPOH – Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi syarahan dilihat tidak lagi sesuai dengan pembaharuan kurikulum dan perubahan budaya Pendidikan masa kini.

Bertepatan dengan Revolusi Industri 4.0, pembelajaran berpusatkan pelajar merupakan pendekatan pembelajaran yang perlu diberikan tumpuan. Dalam konteks PdP berpusatkan pelajar pula, sumber pengajaran dan bahan pembelajaran juga merupakan aspek yang penting selain kaedah pengajaran.

Menurut kajian pakar-pakar pendidikan, 75 peratus daripada maklumat yang diperoleh oleh manusia ialah melalui deria penglihatan, 13 peratus daripada deria pendengaran dan selebihnya melalui deria sentuh, rasa dan bau.

No Image Caption



Oleh itu, alat bantu mengajar (ABM) khususnya memainkan peranan penting dalam aktiviti PdP. Ini adalah kerana ABM merupakan media yang mampu mewujudkan rangsangan semasa proses pembelajaran yang kemudiannya bertindak memperkembangkan kecerdasan dan pengalaman seseorang murid.

Sehubungan itu, bagi memudahkan pelajar-pelajar memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran yang dipelajari, Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) mengambil inisiatif untuk membekalkan ABM alaf baharu kepada sekolah-sekolah seliaannya di bawah Program empowerNCER Akademik.

No Image Caption



Pihak empowerNCER Akademik IUKL akan memberikan 'bantuan pakej peralatan alaf baru' melibatkan sembilan sekolah yang terletak di daerah Bagan Datuk, Manjung dan Perak Tengah. Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, SMK Khir Johari dan SMK Rungkup dari daerah Bagan Datuk; SMK Seri Londang, SMK Changkat Lada dan SMK Lambor Kiri dari daerah Perak Tengah; dan SMK Ambrose, SMK Pantai Remis dan SMK Pangkor dari daerah Manjung.

Program ini juga akan dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua, guru dan pegawai lapangan NCIA.

Pakej ABM baharu yang diserahkan terdiri daripada satu unit tablet, dua projektor pintar dan dua layar putih.

No Image Caption



Pihak IUKL, NCIA dan Yayasan Petronas mengharapkan agar para guru akan dapat menjalankan sesi PdP dengan lebih berkesan dalam menyediakan para pelajar menghadapi peperiksaan SPM 2022 pada Feb 2023 akan datang.

Proses penyerahan ABM alaf baru ini dibuat melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing di Bagan Datuk, Manjung dan Perak Tengah dalam majlis berasingan yang dihadiri oleh wakil-wakil dari IUKL, NCIA dan Yayasan PETRONAS.

IUKL telah dilantik oleh pihak NCIA sebagai salah satu Penyedia Perkhidmatan Program empowerNCER Akademik sangat bertuah dan berbesar hati kerana dapat turut serta dalam inisiatif pihak kerajaan bagi membantu sekolah-sekolah luar bandar yang rata-rata para pelajarnya datang daripada keluarga B40.