Kurangkan kebergantungan kepada Zii Jia

Zii Jia - Foto AFP
Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

MALAYSIA seharusnya perlu mengurangkan kebergantungan kepada jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann sebaliknya berpendapa,t pasukan negara yang menurunkan barisan terkuat mereka harus menggunakan kelebihan pemain lain dalam usaha mencatat kejayaan membanggakan pada kejohanan di Pusat Pameran Dubai itu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menerapkan sistem penggiliran terutamanya dalam acara perseorangan lelaki bagi memberi peluang kepada bukan sahaja Zii Jia malah seorang lagi wakil negara, Leong Jun Hao beraksi pada edisi ketiga kejohanan tersebut.

"Kita akan bincang lebih terperinci menjelang pertandingan dengan membandingkan kondisi masing-masing...ambil kira perasaan dan keyakinan diri pemain dan menghormati input mengenai sesuatu perlawanan.

"Kami dah agak pasti taruhan utama negara pada kejohanan ini tetapi tidak akan mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Memandangkan Zii Jia dan Jun Hao menampilkan prestasi kurang memberangsangkan menjelang BAMTC, Choong Hann berkata, pihaknya akan menggunakan kem latihan pusat pada minggu depan bagi membantu kedua-dua pemain tersebut terutamanya memperbaiki tahap kawalan bulu tangkis selain melancarkan penukaran taktik semasa di gelanggang.

"Saya fikir sekarang kedua-dua pemain ini berdepan masalah menukar taktik dengan lancar... terdapat terlalu banyak ruang yang diambil kesempatan oleh lawan untuk mengumpul mata. Aspek ini perlu diperbaiki,” katanya.

Zii Jia mengalami permulaan musim 2023 yang mengecewakan selepas tersingkir awal pada tiga kejohanan disertainya bermula di Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Indonesia Masters manakala Jun Hao turut menerima nasib sama selepas ditunjukkan jalan keluar di pusingan kelayakan Thailand Masters, Selasa lepas.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, Malaysia turut menyenaraikan Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Pada saingan BAMTC kali ini, Malaysia,selaku pilihan keempat kejohanan, diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE. - Bernama