Tiada perancangan kembalikan Felda United FC - Idris Jusoh

Abang Johari (kanan) bersalaman dengan Idris ketika menerima kunjungan hormat delegasi Felda di Wisma Bapa Malaysia, Kuching hari ini. - Foto Bernama
Abang Johari (kanan) bersalaman dengan Idris ketika menerima kunjungan hormat delegasi Felda di Wisma Bapa Malaysia, Kuching hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak mempunyai perancangan untuk memasukkan semula Kelab Bola Sepak Felda United (Felda United FC) dalam kancah bola sepak tempatan buat masa ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh.

Beliau berkata, Felda mempunyai perkara yang lebih besar untuk dititikberatkan sebagai proses rasionalisasi lembaga itu bagi meningkatkan nilai dan prestasinya.

"Buat masa kini tidak ada (perancangan) kerana kita ada agenda yang lebih besar untuk Felda tetapi kita masih gerakkan Akademi Bola Sepak Felda untuk melatih belia dan pelajar dalam sukan bola sepak,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini, Idris berkata Felda membelanjakan hampir RM500,000 setahun untuk akademi berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus peminat bola sepak negara di media sosial yang berharap untuk melihat semula aksi Felda United FC di pentas sukan bola sepak dalam masa terdekat.

Pada Oktober 2020, Felda mengesahkan penarikan diri Felda United FC dalam perlawanan Liga Malaysia (Liga M) sama ada saingan Liga Super mahupun Liga Premier.

Keputusan itu dibuat setelah pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan kelab berkenaan serta anak syarikatnya The Fighters Sdn Bhd oleh Felda bermula September tahun itu.

Kelab itu pernah menjuarai saingan Liga Premier pada 2010 dan 2018 serta muncul naib juara Piala FA 2014 selain berjaya mara ke separuh akhir saingan Piala Malaysia sebanyak empat kali sejak ditubuhkan pada 2007. - Bernama