'Rupanya bawa dadah'

PDRM
PDRM
A
A
A

KAJANG - Pergerakan seorang penunggang motosikal yang mencurigakan di Jalan Dataran C180 Bandar Tun Hussien Onn, dekat sini membongkar penemuan 81 peket dadah, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki tempatan itu ditahan untuk pemeriksaan ketika rondaan cegah jenayah anggota Balai Polis Batu 9 kira-kira jam 7 petang.

Menurutnya, pemeriksaan pada suspek berusia 32 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu menemui 31 peket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis syabu dan 50 peket berisi dadah heroin.

"Dianggarkan jumlah rampasan kedua-dua jenis dadah ini bernilai RM2,740.

"Suspek dipercayai adalah tokan dadah yang aktif sejak enam bulan lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, suspek kini direman enam hari sehingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Mohd Zaid, kerjasama orang ramai sangat diperlukan khususnya dalam daerah Kajang bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah atau jenayah dengan menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222.