Nunez yakin mampu sehebat Suarez

NUNEZ
NUNEZ
A
A
A

DARWIN Nunez yakin mampu mengikut jejak langkah Luis Suarez di Liverpool dan meledak pada musim keduanya bersama kelab itu.

Penyerang Uruguay itu bergelut untuk menemui rentak sejak tiba di Anfield dari Benfica pada Jun lalu.

Walaupun menyedari masalah yang dihadapinya pada separuh musim debutnya dalam bola sepak Inggeris, Nunez mengenal pasti permulaan perlahan yang turut dialami Suarez sendiri di Merseyside dan merasakan dia boleh bangkit dengan gaya yang sama.

Suarez menjaringkan hanya 15 gol dalam 44 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertama di Liverpool, sebelum meledak 54 gol dalam 66 penampilan berikutnya sebelum berpindah ke Barcelona pada 2014.

"Jelas sekali, saya masih mempunyai banyak perkara untuk diusahakan contohnya penyudah saya. Perkara yang berlaku kepada saya sama seperti Suarez. Pada tahun kedua, dia mula tajam.

"Sesuatu yang serupa telah berlaku kepada saya di Benfica. Tahun pertama berjalan dengan sangat teruk dan pada tahun kedua, saya 'meletup'.

"Di sini, saya rasa perkara yang sama berlaku. Saya harap musim depan akan menjadi seperti itu. Saya akan memberikan yang terbaik dan semoga akan mendapat sedikit tuah," katanya.

Nunez juga memberitahu dia sering mendapatkan nasihat daripada Suarez.

"Bagi saya, dia adalah idola dan contoh yang hebat. Dalam pasukan kebangsaan, saya kini mempunyai hubungan yang lebih baik dengannya.

"Saya bertanya kepadanya banyak perkara kerana dia berada di kelab ini dan dia mempunyai lebih banyak pengalaman daripada saya.

"Dia adalah pemain penting untuk memberi nasihat dan menjelaskan situasi di kelab kepada saya," katanya.