Program perkasa ekonomi KRT diperluaskan ke seluruh negara

Norison (duduk tengah) ketika hadir ke Majlis Apresiasi dan Amanat Awal Tahun KRT Daerah Kuala Muda 2023 bersama Ketua Pengarah JPNIN di Sungai Petani Rabu malam.
Norison (duduk tengah) ketika hadir ke Majlis Apresiasi dan Amanat Awal Tahun KRT Daerah Kuala Muda 2023 bersama Ketua Pengarah JPNIN di Sungai Petani Rabu malam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Program Pemerkasaan Ekonomi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya sasaran mendapatkan 94,000 liter minyak masak terpakai berjaya dicapai dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Norison Ramli berkata, pada peringkat permulaan, projek rintis itu dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 94 KRT mengambil bahagian.

"Sasaran ialah untuk mendapatkan 1,000 liter minyak masak terpakai bagi setiap KRT dalam tempoh tiga bulan, kalau berjaya, Petronas akan perkembangkan program ini ke seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Apresiasi dan Amanat Awal Tahun KRT Daerah Kuala Muda 2023 bersama Ketua Pengarah JPNIN pada Rabu malam.

Jelasnya, inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk Kebun Komuniti (Kebuniti) dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memperkasa ekonomi dan menjana pendapatan KRT.

"Kita akan minta kerjasama majlis daerah untuk dapatkan tanah terbiar agar boleh digunakan oleh KRT untuk bangunkan projek perternakan, pertanian dan perikanan,"katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 94 KRT di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan terlibat dalam Program Pemerkasaan Ekonomi KRT.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Dagang berkata, projek menerusi kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan BioLestari itu bertujuan membantu komuniti KRT menjana pendapatan mereka.