Pakej jalur lebar B40 ditawarkan mulai Mac

Fahmi
Fahmi
A
A
A

PUTRAJAYA - Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap ditawarkan kepada golongan B40, warga emas, orang kurang upaya (OKU) pada harga lebih rendah mulai Mac ini.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menerusi kenyataan memaklumkan, pakej itu menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan internet sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had pada harga RM69 sebulan dengan kontrak langganan selama 24 bulan.

"Inisiatif ini bukan sahaja seiring dengan hasrat untuk meringankan beban rakyat, malah merupakan indikator bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan rakyat serta berusaha dalam memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh," katanya pada Khamis.

Menurutnya, harga pakej tersebut ditawarkan sebanyak 22 peratus lebih murah berbanding pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89.

"Bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak," katanya.

Beliau berkata, insiatif tersebut dijalankan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap di dalam negara.