JPJ diminta bantu lapor jalan rosak di Perak

Mohammad Nizar (tengah) ketika sidang akhbar sempena Lawatan Kerja ke JPJ Perak pada Khamis.
Mohammad Nizar (tengah) ketika sidang akhbar sempena Lawatan Kerja ke JPJ Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengalu-alukan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaporkan keadaan jalan tidak sempurna di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pihaknya mengakui keadaan infrastruktur yang tidak sempurna seperti kerosakan jalan, pencahayaan yang kurang dan sebagainya antara penyebab berlakunya kemalangan jalan raya di negeri ini.

Menurutnya, sehubungan itu kesemua agensi dan jabatan berkaitan akan saling membantu dalam memastikan usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini dapat dikurangkan dari masa ke masa.

"Kemalangan ini bukan sahaja disebabkan pemandu yang tidak berdisiplin, kadang-kadang infrastruktur seperti permukaan jalan merupakan satu masalah yang menyebabkan kemalangan.

"Jadi JPJ boleh memainkan peranan. Saya bagi tahu tadi, sekiranya dalam mereka melaksanakan operasi, kalau ada mana-mana jalan bermasalah, berlubang dan sebagainya haruslah diberitahu kepada saya sendiri dan kepada agensi berkaitan supaya dapat diperbaiki secepat mungkin, jika tidak kemalangan akan berlaku.

"Kadang-kadang JPJ yang tahu jalan itu rosak, jalan itu banjir, jalan itu macam-macam berlaku. Jadi benda-benda ini kita akan interaksi antara satu jabatan dengan jabatan yang lain bagi mengurangkan masalah tersebut berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke JPJ Perak pada Khamis.

Hadir sama Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Mohammad Nizar (dua dari kiri) memeriksa perbarisan anggota JPJ Perak sempena Lawatan Kerja ke JPJ Perak pada Khamis.
Mohammad Nizar (dua dari kiri) memeriksa perbarisan anggota JPJ Perak sempena Lawatan Kerja ke JPJ Perak pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata, pihaknya bersama-sama agensi berkaitan sedang giat menjalankan pelbagai kempen terutama sempena musim perayaan bagi memastikan kadar kecelakaan jalan raya dapat dikurangkan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha memastikan ketetapan dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar kadar kemalangan jalan raya dikurangkan sehingga 50 peratus menjelang tahun 2023 dicapai.

"Saya sendiri mahu menjadikan Perak ini sebagai satu negeri yang pemandu rasa selamat bila mereka menggunakan jalan raya kita. Dengan cara sedemikian maka tidaklah banyak musibah melibatkan nyawa berlaku di negeri ini, itu hasrat kita.

"Jadi bagaimana kita nak mengurangkan (kemalangan) itu adalah melalui kempen dan publisiti serta segala program yang telah dirancangkan oleh JPJ sendiri termasuk program menyedarkan orang ramai tentang keselamatan menggunakan jalan raya," katanya.

Mengenai lawatan kerja yang dilakukan, Mohammad Nizar memberi komitmen kepada JPJ bahawa kerajaan negeri akan berusaha membantu dan memberikan kerjasama kepada agensi tersebut.

Jelasnya, kerajaan negeri akan membantu mempermudahkan urusan JPJ dalam melaksanakan tugas terutama membabitkan keselamatan pengguna jalan raya.