Hospital Sultanah Hajjah Kalsom laksana pembedahan laparoscopic

Pembedahan laparoscopic ke atas pesakit wanita Orang Asli pada 2 Februari lalu menjadi satu kejayaan buat
Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands.
Pembedahan laparoscopic ke atas pesakit wanita Orang Asli pada 2 Februari lalu menjadi satu kejayaan buat Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands.
A
A
A

KUANTAN - Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands melakar sejarah apabila berjaya menjalankan pembedahan laparoscopic pada 2 Februari lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, pembedahan oleh Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dengan bantuan kepakaran dari Hospital Kuala Lipis itu melibatkan pesakit wanita Orang Asli berumur 21 tahun dari Kampung Terisu, Cameron Highlands.

Menurutnya, pesakit menjalani pembedahan itu untuk membuang ketumbuhan pada ovari.

"Pembedahan laparoscopic adalah pembedahan dalam ruang abdomen menggunakan sistem camera dengan hirisan kulit kecil sahaja di mana pesakit kurang mengalami kesakitan semasa operasi dan dapat discaj lebih awal berbanding pembedahan konvensional.

"Pembedahan sebegini akan digiatkan lagi untuk meneruskan inisiatif pembedahan global pada masa akan datang.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sentiasa merancang untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan pembedahan di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom bagi manfaat oleh penduduk daerah itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Nor Azimi berkata, Hospital Sultanah Hajjah Kalsom sebuah hospital daerah tanpa pakar yang beroperasi sejak Januari 2007.

Beliau berkata, hospital itu memulakan perkhidmatan pembedahan kecil bermula hujung tahun 2018.

"Pada 1 Disember tahun lalu, hospital tersebut berjaya memulakan pembedahan pembiusan am melibatkan pembedahan ortopedik.

"Perkhidmatan pembedahan pembiusan am telah dikembangkan sejajar dengan inisiatif pembedahan global dan sehingga kini, sebanyak 17 kes pembedahan

'general anaesthesia' dan sembilan kes 'spinal anaesthesia' telah berjaya dijalankan di hospital itu," jelasnya.