Kanser hati ubah kehidupan pemuda

Wan Abdul Majid (kiri) dan Wan Alias (kanan) ketika menerima kunjungan Wan Yusrizal dan Zainun.
Wan Abdul Majid (kiri) dan Wan Alias (kanan) ketika menerima kunjungan Wan Yusrizal dan Zainun.
A
A
A

KUALA NERUS - Penyakit kanser hati yang ditanggung sejak setahun lalu mengubah kehidupan seorang pemuda dari Gong Datuk di sini apabila dia dan keluarga terpaksa menempuh pelbagai dugaan.

Lebih menyedihkan, bapanya juga memerlukan perhatian kerana menghidap strok dan bergantung kepada bantuan bulanan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

Menceritakan detik sukar dialaminya kini, Wan Abdul Majid Wan Alias berkata, dia ibarat insan yang menghitung hari selepas disahkan menghidap kanser hati sejak setahun lalu.

“Saya terima ujian ini selama setahun dan hanya mampu kuatkan semangat sendiri dalam menempuhi hari-hari yang mendatang bersama keluarga di sisi.

“Disebabkan penyakit ini, saya perlu menjalani pembedahan membuang sebahagian usus yang rosak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu tahun lepas," katanya kepada media, di sini.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kehidupan sukar yang dilaluinya seperti sampai ke penghujungnya apabila keadaan kesihatan bapanya semakin hari semakin tidak menentu kerana kesan strok.

"Saya tak dapat sebarang bantuan, tapi mujurlah bapa saya dapat bantuan bulanan sebanyak RM350," katanya.

Pemuda terbabit dan keluarga berterima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana prihatin terhadap nasib mereka dengan menyalurkan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Wan Abdul Majid dan Wan Alias menerima kunjungan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi'i mewakili Khairuddin sempena program Ziarah Mahabbah di Gong Datuk.

Wan Yusrizal menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Wan Abdul Majid serta dua buah lagi keluarga yang diziarahi di kampung itu.

Hadir sama, Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs), DUN Tepoh, Zainun Ali.