'Tak bermakna jika tak jadi juara'

Shaw
Shaw
A
A
A

LUKE Shaw menegaskan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala Liga tidak akan memberi makna kepada Manchester United jika mereka tidak memenangi trofi tersebut.

Kemenangan 2-0 di Old Trafford pada Khamis menyaksikan United mara dengan agregat selesa 5-0 pada dua aksi separuh akhir menentang Nottingham Forest sekali gus menempah pertemuan dengan Newcastle United pada 26 Februari ini di Wembley.

Kemenangan tersebut yang diperoleh hasil jaringan pada separuh masa kedua menerusi Anthony Martial dan Fred meneruskan kebangkitan United di bawah bimbingan Erik ten Hag.

Ia memberi peluang kepada United untuk menamatkan kemarau trofi selepas enam tahun dengan kali terakhir mereka menjulang piala pada pada musim 2016-17.

"Tidak ada gunanya pergi ke final jika anda tidak memenanginya.

"Ia adalah peluang besar untuk kami, bermain dalam perlawanan besar, mengembalikan kelab ini ke tempat yang sepatutnya dan mencabar untuk memenangi trofi.

"Kami kini mempunyai satu perlawanan yang besar menentang Newcastle. Mereka adalah pasukan yang sangat bagus dan ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar," katanya.

Dalam pada itu, Bruno Fernandes, yang mengetuai United dan memainkan peranan penting dalam perlawanan kedua menentang Forest berharap untuk tampil lebih baik dalam perlawanan akhir.

"Sekarang kami mempunyai peluang lagi. Sebelum itu, terdapat banyak perlawanan yang akan datang, jadi kami perlu fokus pada itu.

"Saya sangat gembira dengan prestasi pasukan terutama untuk gol yang kami cipta. Kami mempunyai lebih banyak peluang dan kami boleh menjaringkan lebih banyak gol, tetapi saya fikir mereka bertahan dengan sangat baik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!