Belanjawan 2023: Kementerian tumpu R&D pasar produk ke antarabangsa

Fadillah ketika hadir bagi sesi temu bual Program Naratif Khas terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Berita, Angkasapuri malam ini. - Foto Bernama
Fadillah ketika hadir bagi sesi temu bual Program Naratif Khas terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Berita, Angkasapuri malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perladangan dan Komoditi akan memberi tumpuan kepada peruntukan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam tujuan memasarkan produk negara ke peringkat antarabangsa dalam Belanjawan 2023, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ini perlu kerana negara terlalu bergantung kepada import dan pada masa sama perlu memastikan agar penerimaan produk dapat dikekalkan.

"Oleh itu kita perlukan penglibatan serta melantik pakar-pakar luar negara untuk kita berunding dan memastian produk kita diterima.

"Selain bekerjasama dengan syarikat besar industri, kita juga kena lihat pekebun-pekebun kecil sebab itu dalam konteks kayu kayan ini kita perlu lihat perladangan komuniti selain produk-produk baharu seperti kanabis, jika ia boleh dijadikan salah satu komoditi,” katanya dalam program Naratif Khas bersama Timbalan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung oleh RTM malam ini.

Sementara itu, beliau berkata, banyak usaha telah pun dibuat dan akan terus dilaksanakan kerajaan misalnya memperkenalkan standard yang hampir mencapai piawaian antarabangsa bagi memenuhi segala komitmen kemampanan dan kelestarian.

"Di peringkat Malaysia, memang kita telah memberikan komitmen untuk tidak membuka ladang-ladang baharu, maknanya hutan-hutan tidak lagi akan diterokai tetapi yang akan ada adalah penghijrahan daripada kelapa kepada sawit, yang membabitkan pekebun-pekebun kecil.

"Yang mungkin mencabar ialah bagaimana pekebun kecil ini dapat memenuhi standard yang telah ditetapkan.

"Di Malaysia kita telah memperkenalkan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) di peringkat antarabangsa ada juga Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), supaya kita akan dapat memasarkan produk kita,” katanya,

Beliau berkata, Malaysia akan berbincang dengan Indonesia pada minggu depan mengenai bagaimana untuk menyusun strategi supaya perkara ini mendapat perhatian daripada Kesatuan Eropah (EU). - Bernama