Perlis rintis advokasi larangan jual RON95, diesel

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PADANG BESAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memilih negeri Perlis untuk melaksanakan projek rintis advokasi berhubung larangan penjualan diesel dan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan asing, sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, buat julung kalinya negeri Perlis dipilih, rentetan terdapat isu kenderaan bernombor pendaftaran asing kerap berulang-alik ke stesen minyak yang berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand mengisi minyak petrol dan diesel, yang kemudianya cuba diseludup ke negara jiran.

"Bagi mengelak perbuatan itu terus berleluasa, KPDN menerusi Bahagian Penguat Kuasa mengambil langkah proaktif mengadakan advokasi dengan semua 40 pengusaha stesen minyak di sini (Perlis) selama 14 hari bermula hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kepada mana-mana individu yang melanggar arahan setelah tamat tempoh advokasi 14 hari itu.

Menurutnya, KPDN turut mengedarkan 250 Notis Amaran di pintu masuk negara Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian kepada pemilik kenderaan pendaftaran asing, termasuk motosikal.

"KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar arahan selepas tempoh advokasi dengan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa mereka ke mahkamah berdasarkan perundangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Shamsul Nizam berkata, mereka yang disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta, manakala kesalahan berikutnya denda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Katanya, bagi syarikat pula, jika disabit kesalahan syarikat berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya denda tidak lebih RM5 juta. - Bernama