'Masih ada ruang, peluang ahli dipecat kembali' - Mohd Hairi

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor yakin masih ada ruang dan peluang buat ahli-ahli parti berkenaan yang dipecat serta digugurkan baru-baru ini untuk kembali ke pangkuan parti.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, pemecatan serta pengguguran berkenaan sememangnya sesuatu yang normal bagi mana-mana parti terutamanya apabila melibatkan isu dengan presiden parti.

Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan diharap dapat dipulihkan kembali dan ahli-ahli yang dipecat atau digugurkan kembali bersama UMNO.

“Bagi saya (perkara) itu normal dalam semua parti, mungkin ada yang setuju atau ada yang tak setuju...tapi, kalau sayalah suatu hari nanti jadi seorang presiden dan sentiasa diasak bertubi-tubi walaupun untuk buat kebaikan, rejuvinasi terhadap parti tapi dihalang, saya rasa saya pun mungkin ambil tindakan yang sama...lihat sahaja, Azmin (Ali), Hussam Musa, Mat Sabu juga pernah dipecat kerana menyuarakan pandangan berbeza terhadap presiden parti masing-masing.

“Tetapi, saya mengharapkan semoga persefahaman bertaut kembali. Kepada (ahli) yang digantung dan dipecat, saya minta pucuk pimpinan sama ada yang dipilih atau bakal dipilih nanti, kembalikan lah semula figura-figura ini.

“Anggaplah ini sebagai pengajaran kepada semua parti...tak semua orang boleh serang presiden sesuka hati...semua orang boleh bersuara, tapi berpada-pada. Janganlah dalam rumah kita sendiri, orang kita sendiri yang nak sepahkannya, biarlah duduk semeja..dan sesiapa yang telah dibuang, dipecat, jangan patah semangat, teruskan perjuangan, Insya-ALLAH, saya yakin ada ruang dan peluang untuk ‘bertaut’ kembali,” katanya pada Rabu.

Minggu lalu, UMNO bertindak memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar selain turut menggantung keahlian beberapa pemimpin antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Sementara itu, Mohd Hairi turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad atas kepimpinannya yang banyak membantu Pemuda UMNO Johor sebelum ini.