Tambah taska, tabika perlu seiring penambahan guru

Laporan Sinar Harian pada 3 Januari.
Laporan Sinar Harian pada 3 Januari.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbincangan untuk menambah pusat pendidikan awal kanak-kanak sedang dilakukan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Norison Ramli berkata, bagaimanapun penambahan jumlah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) atau taman asuhan kanak-kanak (taska) perlu seiring dengan penambahan guru dan premis di sesebuah kawasan.

Menurutnya, sehubungan itu JPNIN akan mengadakan mesyuarat bersama KPM pada minggu depan bagi memperhalusi perancangan tersebut.

“Tidak dinafikan jumlah tabika atau taska masih tidak mencukupi berikutan mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa terutama selepas berlaku kenaikan kos sara hidup.

“Memang ada permintaan untuk tambah lagi tabika baharu, namun pada masa sama perlu tambahkan guru. Aspek ini sedang diteliti kerana libatkan banyak pihak untuk tambah kaki tangan kerajaan (guru) antaranya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan,” katanya selepas merasmikan Hari Graduasi Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan 2022 Daerah Kota Setar/Padang Terap/Pokok Sena di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Perpaduan Kedah, Ahmad Puat Junus.

Norison memberitahu, KPM sememangnya sedang menilai perancangan untuk menambah bilangan tabika, taska dan prasekolah berdasarkan dasar sedia ada.

“Semua tabika termasuk tabika perpaduan, tabika Kemas mahupun swasta mesti berdaftar bawah KPM.

“Setakat ini jumlahnya memang tidak mencukupi sebab had pelajar tidak melebihi 30 orang dalam satu kelas agar tiada pelajar terpinggir, secara purata hanya 25 orang dalam satu kelas,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tambahan guru, premis dan peralatan pembelajaran harus disediakan terlebih dahulu sebelum membuka tabika/taska baharu.

“Ia melibatkan kos di pihak kerajaan, banyak pihak terlibat akan memperincikan perkara ini.

“Sebelum ini ramai ibu bapa memilih tabika/taska swasta namun apabila kos sara hidup meningkat, ramai mohon kerajaan agar tambah jumlah tabika/taska. Kita pun masih tunggu KPM sekiranya diberikan lebih kuota agar dapat buka lebih banyak lagi,” katanya.

Norison (empat dari kanan, barisan tengah) bergambar bersama pelajar tabika perpaduan dan taska genius perpaduan seusai majlis graduasi pada Rabu.
Norison (empat dari kanan, barisan tengah) bergambar bersama pelajar tabika perpaduan dan taska genius perpaduan seusai majlis graduasi pada Rabu.

Norison berkata, perancangan ke arah itu terpaksa ditangguhkan selagi persediaan awal atau kekangan yang dinyatakan tadi belum dapat diatasi.

Pada 3 Januari, Sinar Harian melaporkan jumlah pusat pendidikan awal kanak-kanak disediakan kerajaan masih belum mencukupi bagi menampung permintaan tinggi dalam negara.

Pensyarah Kanan Program Pendidikan Awal Kanak-kanak daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Juppri Bacotang berkata, negara masih belum mencapai sasaran nisbah sepatutnya bagi peringkat pendidikan tersebut yang digariskan KPM.

Jelasnya, peningkatan drastik taska dan tadika dikendalikan pihak swasta terutamanya di bandar besar antara bukti kekurangan kemudahan pendidikan tersebut.

Dalam pada itu, Norison memaklumkan, JPNIN juga akan berbincang dengan KPM untuk menambah silibus bahasa asas, iaitu Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Siam dan bahasa isyarat di tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan prasekolah bermula tahun ini.

“Di tabika perpaduan, mulai tahun lepas kita tambah silibus baharu itu untuk terapkan persefahaman pelbagai kaum agar pelajar dapat berinteraksi tanpa kekok.

“Jadi kita perkenalkan bahasa asas tersebut yang disediakan sejak 2020 berkaitan penerapan Rukun Negara,” katanya.

Tambah beliau, terdapat lebih 1,780 tabika perpaduan di seluruh negara manakala di Kedah melebihi 100 buah.