'Pilih buku macam membeli-belah raya'

Orang ramai mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf 2023 di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam pada Selasa. - Gambar kecil: Lokman Hakim (kiri), Siti Asmiza dan Harisa Haziera.
Orang ramai mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf 2023 di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam pada Selasa. - Gambar kecil: Lokman Hakim (kiri), Siti Asmiza dan Harisa Haziera.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai memanfaatkan masa terluang dengan mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf 2023 bagi memupuk semangat membaca dalam kalangan anak-anak dan golongan remaja.

Seorang kakitangan swasta, Lokman Hakim Yahya, 46, memberitahu, dia datang ke Jualan Gudang Karangkraf atas permintaan isteri dan anak-anak.

Jelas Lokman, dia dan keluarga setiap tahun akan mengunjungi jualan gudang kerana minat membaca yang mendalam selain menambah koleksi buku.

“Saya kalau bawa isteri dan anak-anak ke jualan gudang ini memang kena tunggu lama, sama macam membeli-belah untuk raya. Mungkin mereka mengambil masa yang lama untuk memilih kerana banyak buku yang ditawarkan.

“Rancang nak datang pada hari pertama lagi tetapi agak sibuk. Jadi hari ini (Selasa) ada masa terluang, saya bawa mereka untuk menambah koleksi buku masing-masing,” ujarnya.

Seorang suri rumah, Siti Asmiza Ahmad Mahtar, 34, berkata, dia mengambil peluang berkunjung ke jualan gudang bagi menarik minat anaknya terhadap bahan bacaan.

“Saya memang mengikuti perkembangan Jualan Gudang Karangkraf. Kalau dapat tahu ia diadakan, saya akan bawa anak dan setiap kali datang dia pasti gembira untuk memilih buku-buku kesukaannya.

“Lagipun, harga ditawarkan sangat murah berbanding tempat lain. Jadi, saya beri kebebasan kepada anak untuk memilih buku yang dia mahu, ini pun sudah banyak dipilih,” jelasnya.

Bagi pelajar, Harisa Haziera Adam Afkar, 19, jualan sebegini bagus diadakan kerana dapat memupuk minat membaca dalam kalangan remaja.

Tambah Harisa Haziera, dia dan rakan-rakannya berasa sangat teruja apabila melihat limpahan bahan bacaan melibatkan semua judul termasuk buku motivasi, novel serta pelbagai genre yang lain.

“Bagus ada jualan seperti ini kerana banyak buku kita boleh dapat hanya di satu tempat dan harga pun lebih murah berbanding di pasaran. Apabila dapat tahu ada jualan gudang melalui media sosial, saya bersama rakan mencari masa untuk mengunjunginya.

“Kami memang suka pergi ke kedai buku pada masa terluang. Lebih baik tengok buku, sekurang-kurangnya dapat manfaat,” ujarnya.

Pelbagai pilihan buku kanak-kanak ditawarkan pada harga diskaun di Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang mampu menarik minat membaca golongan itu.
Pelbagai pilihan buku kanak-kanak ditawarkan pada harga diskaun di Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang mampu menarik minat membaca golongan itu.

Jualan Gudang Karangkraf 2023 kembali dengan menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan dengan penawaran diskaun sehingga 80 peratus.

Ia diadakan pada 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula jam 9 pagi hingga 7 petang di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Pelbagai tawaran hebat sempena Hari Wilayah

Sementara itu, penduduk di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya dipelawa memeriahkan dan merebut pelbagai tawaran hebat di Jualan Gudang Karangkraf 2023 bersempena Hari Wilayah, hari ini.

Pegawai Pemasaran Digital Grup Buku Karangkraf, Muhamad Khair Sabilan berkata, antara tawaran yang akan diberikan adalah hadiah percuma untuk 300 pengunjung yang terawal serta diskaun sebanyak 50 peratus bagi al-Quran terpilih.

“Naskhah al-Quran ini sangat terhad. Siapa cepat dia dapat. Jadi, datang beramai-ramai ke Jualan Gudang Karangkraf agar tawaran ini tidak disia-siakan.

“Selain itu, turut diadakan pertandingan mewarna kepada kanak-kanak. Bagi yang memakai baju kuning pula, mereka akan diberi air kotak Milo secara percuma,” jelasnya.

Tambah Muhamad Khair, orang ramai diundang hadir memandangkan tawaran hebat itu hanya diadakan pada waktu cuti.

“Jika lambat, risau naskhah yang diinginkan akan habis. Ini kerana naskhah akan bertukar-tukar,” ujarnya.

Sementara itu, Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Grup Buku Karangkraf, Siti Rahmah Mokhtaruddin turut mempromosikan ‘Meja Manuskrip’ bagi mencari bakat-bakat muda dalam penulisan.

Ujarnya, ia merupakan salah satu program yang diadakan sempena jualan gudang kali ini.

“Setakat ini, sebanyak enam manuskrip telah dihantar dan peserta yang paling muda, berumur 12 tahun.

“Program ini bukan satu pertandingan namun merupakan platform golongan muda yang berbakat untuk melebarkan sayap dalam bidang penulisan.

“Jika ada projek yang sesuai mungkin kami akan menghubungi mereka yang berkenaan. Kami memang mencari penulis muda,” tambah beliau.

Katanya, semua manuskrip yang dihantar sangat bagus dari segi olahan idea dan ia di luar jangkaan.

“Jadi, bagi yang berminat, jangan takut untuk hantar manuskrip anda,” ujarnya.

AKTIVITI

- Cari dan Menang adalah antara aktiviti permainan pada jualan gudang kali ini.

- Pengunjung dikehendaki mencari buku berdasarkan kad yang diberi.

- Pengunjung yang berjaya menyelesaikan misi akan mendapat senaskhah buku secara percuma.