Perompak selamba bawa lari van syarikat keselamatan

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki bertopeng serta berpakaian serba hitam memasuki van.
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki bertopeng serta berpakaian serba hitam memasuki van.
A
A
A

BANDUNG - Seorang penjenayah mengambil kesempatan di atas kelalaian tiga pekerja syarikat kawalan keselamatan apabila membawa lari van berisi wang 4.8 juta rupiah (RM1,358) yang sepatutnya diisi ke dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Jawa Barat, Indonesia.

Aksi selamba dan ala ninja penjenayah tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan menjadi tular selepas ia dimuat naik di platform media sosial.

Difahamkan kejadian itu berlaku baru-baru ini di hadapan Bank BRI Desa Karanganyar di daerah Subang.

Menerusi rakaman CCTV, seorang lelaki bertopeng serta berpakaian serba hitam memasuki van tersebut sebelum menghidupkan enjin dalam keadaan tenang.

Tiga pekerja tersebut yang dilihat bersembang dan bermain telefon bimbit gagal menghentikan van tersebut yang memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

Lapor media tempatan, suspek utama kes itu bagaimanapun berjaya diberkas bersama dua rakan subahat dalam tempoh kurang 72 jam selepas melakukan rompakan tersebut.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Subang, Asisten Komisioner Sumarni memberitahu, ketiga-tiga suspek didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. - Agensi