Banjir tidak jejas sasaran lapan juta pelancong ke Johor

Raven Kumar (tiga dari kiri) semasa mengadakan sidang akhbar selepas Bengkel Responsible Tourism di sebuah hotel di Johor Bahru pada Selasa.
Raven Kumar (tiga dari kiri) semasa mengadakan sidang akhbar selepas Bengkel Responsible Tourism di sebuah hotel di Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada kerosakan infrastruktur di kawasan pelancongan di negeri ini akibat banjir, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar.

Menurut beliau, banjir hanya memberi kesan di daerah seperti Mersing kerana banyak aktiviti percutian laut terpaksa ditangguhkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak dingini.

Justeru, beliau yakin sasaran seramai lapan juta pelancong mengunjungi negeri ini pada tahun ini akan dapat dicapai walaupun banjir melanda beberapa daerah ketika ini.

"Ketika sasaran itu dibuat, pelbagai faktor telah diambil kira termasuklah soal musim tengkujuh dan lain-lain, jadi kita yakin sasaran tersebut boleh dicapai.

"Ini kerana walaupun terdapat aspek pelancongan yang mungkin terjejas akibat banjir, tetapi banyak lagi sektor pelancongan lain yang masih kekal beroperasi ketika ini, termasuklah pusat beli-belah dan juga taman tema," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Responsible Tourism di sebuah hotel di bandar raya ini pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan mampan yang menyokong pembangunan seimbang kemodenan dan juga kelestarian alam sekitar.

"Kita juga berharap sektor pelancongan akan membantu sasaran Johor untuk menanam sehingga 4 juta pokok baharu menjelang tahun 2025," katanya.