DBKL tutup tapak binaan dikesan biak jentik-jentik

Pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa di tapak binaan di Sentul pada Selasa. Foto: DBKL.
Pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa di tapak binaan di Sentul pada Selasa. Foto: DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah tapak binaan di Jalan Sentul Raya, Sentul di sini diarah tutup selepas didapati menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, arahan tersebut dikeluarkan menerusi operasi bersepadu oleh DBKL bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), SWCorp dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, pemaju tapak binaan tersebut turut dikenakan kompaun di bawah Seksyen 80 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan struktur tapak lori pembancuh sementara tanpa kelulusan DBKL.

"Perintah penutupan tapak binaan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 8(3)(aa) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pindaan 2000 berkuat kuasa serta-merta.

"Selain itu, pihak JBPM dan SWCorp telah mengeluarkan amaran lisan terhadap pematuhan sistem kebakaran yang lebih sempurna dan pematuhan pelupusan sisa pepejal mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007(Akta 672)," menerusi kenyataan di Facebook DBKL pada Selasa.

Ujar kenyataan itu, operasi pada jam 10:30 pagi itu disertai oleh 90 anggota pelbagai agensi.

Tambahnya, operasi sama akan diteruskan dari semasa ke semasa terhadap semua tapak binaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada masa akan datang.