Polis trafik iringi wanita hampir bersalin terima penghargaan

Mohammad Rizwan (kanan) dan Mohammad Najmi sijil Penghargaan Khas daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mohammad Rizwan (kanan) dan Mohammad Najmi sijil Penghargaan Khas daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis trafik yang mengiringi wanita hampir bersalin ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, Kelantan, pada 23 Januari lalu, menerima sijil Penghargaan Khas daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Berkongsi pengalaman itu, Lans Koperal Mohammad Rizwan Razali berkata, ketika kejadian dia bersama rakan setugas, Lans Koperal Mohammad Najmi Daud, baru selesai menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Katanya, dia melihat sebuah kereta jenis Proton Wira menggunakan laluan bertentangan dari Tangok ke Jelawat, Kelantan.

"Pada mulanya saya menyangkakan pemandu kenderaan itu melakukan kesalahan apabila didapati memandu melawan arus.

"Saya menahan kenderaan berkenaan sebelum dimaklumkan oleh pemandu kenderaan itu isterinya hendak bersalin sebelum memohon kebenaran dari ketua untuk mengiringinya ke klinik berdekatan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023, di sini pada Selasa.

Mohammad Rizwan berkata, setibanya di klinik, ambulans di kawasan berkenaan didapati tiada sebelum dia memtuskan untuk mengiringi wanita berkenaan ke HRPZ II, Kota Bharu sejauh 20 kilometer.

"Saya hanya menjalankan tugas dalam membantu orang awam yang dalam kesusahan dan kecemasan, penghargaan ini saya akan jadikan pemangkin semangat untuk terus berkhidmat pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Mohammad Najmi berkata, dia bersama rakan setugas mengiringi pemandu berkenaan menggunakan jalan alternatif.

"Keadaan trafik ketika itu sesak dan kami membuat keputusan untuk ke Kota Bharu menggunakan jalan alternatif selepas di berikan kebenaran oleh ketua.

"Saya bersyukur individu berkenaan selamat bersalin dan tidak mempunyai sebarang komplikasi," katanya.