Lima PPS ditutup, banjir di Johor semakin pulih

Penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, Salam Hamid dan isteri, Siti Yatimah Awang membersihkan rumah mereka selepas banjir surut pada Selasa.
Penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, Salam Hamid dan isteri, Siti Yatimah Awang membersihkan rumah mereka selepas banjir surut pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Banjir di Johor semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan iaitu seramai 1,521 orang daripada 419 masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang Selasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah berkenaan berkurangan berbanding seramai 2,138 orang daripada 602 keluarga ditempatkan di 22 PPS pada jam 12 tengah hari.

"Hanya empat daerah masih terjejas akibat banjir iaitu di Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat. Batu Pahat masih lagi menjadi daerah paling ramai bilangan mangsa banjir dengan jumlah terkini 879 orang daripada 246 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.

"Mangsa banjir di Mersing pula kini mencatatkan penurunan drastik iaitu 329 mangsa membabitkan 87 keluarga di tiga PPS berbanding 823 daripada 241 keluarga di enam PPS.

"Seramai 223 mangsa membabitkan 59 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kota Tinggi berbanding 344 mangsa daripada 87 keluarga di lima PPS," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat turut mencatat sedikit penurunan dengan 90 mangsa membabitkan 27 keluarga di tiga PPS.

Azmi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik setinggi 0.85 meter (m).

"Di Kulai, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan di Mersing, Sungai Endau kini tidak lagi berada pada paras bahaya apabila turun dengan mencatatkan bacaan 1.94m (tahap amaran) berbanding 2.38m sebelumnya manakala di Segamat, Sungai Muar di Buloh Kasap berada pada paras amaran dengan bacaan 8.84m berbanding 8.87m sebelumnya.

"Di Batu Pahat yang membabitkan Sungai Bekok berada pada paras amaran iaitu 18.58 berbanding 18.57 sebelumnya," katanya.