Siti Nurhaliza sesuai diangkat ikon perpaduan negara

Siti Nurhaliza. - Foto Instagram @ctdk
Siti Nurhaliza. - Foto Instagram @ctdk
A
A
A

SERAMAI 60,000 penonton terpukau dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza di konsert AR Rahman Secret Of Success Live In Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

Video persembahan beliau yang menyanyikan lagu klasik Tamil berjudul Mumbe Va yang amat sempurna itu telah ditular ke semua platform media sosial.

Ini bukanlah kali pertama beliau membawakan lagu dalam bahasa lain, pada Ogos 2015, penyanyi asal kelahiran negeri Pahang itu pernah membawakan lagu Mandarin yang berjudul Yue Liang Dai Biao Wo Di Xin di Palm Mall, Seremban.

Salah seorang pelayar yang menyaksikan video tersebut di YouTube turut memberi komen nyanyian Siti Nurhaliza itu begitu sempurna.

Kehebatan dan kemampuan penyanyi itu memang tidak boleh dipertikaikan lagi malah merupakan salah seorang seniwati paling berjaya dalam sejarah seni tanah air dan jarang terlibat dengan kontroversi.

Jadi adalah amat wajar jika Siti Nurhaliza dijadikan sebagai ikon perpaduan yang dapat menyatupadukan seluruh rakyat di negara ini.

Ini kerana Merak Jalanan merasakan kerajaan perlu bekerja keras untuk memastikan rakyat di negara ini kembali bersatu padu selepas usaha segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memusnahkan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Bagi Merak Jalanan, kewujudan segelintir pihak sering menggunakan isu-isu perkauman demi untuk kepentingan kumpulan mereka adalah sesuatu yang amat membahayakan.

Kita berharap agar, rakyat tidak mudah terpengaruh dengan naratif-naratif jahat dan tidak membawa manfaat kepada usaha membina negara ini semula.

Merak Jalanan juga pernah mencadangkan supaya semua kementerian untuk bersama-sama melaksanakan inisiatif mengukuhkan kembali semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.