Tongkang bawa kontena dari Thailand nyaris karam

Tangkap layar daripada klip video yang tular berhubung kejadian tongkang nyaris karam pada tengah hari Isnin.
Tangkap layar daripada klip video yang tular berhubung kejadian tongkang nyaris karam pada tengah hari Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah tongkang Namthong 27 dari Kantang, Thailand yang membawa muatan kontena nyaris karam dalam kejadian jam 12.55 tengah hari, Isnin.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada kebocoran pada tongkang tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku di perairan muara Kuala Muda iaitu sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang.

"Ketika kejadian, terdapat lapan pekerja berada dalam tongkang berkenaan. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa anak kapal dilaporkan.

"Kejadian berlaku ketika tongkang tersebut sedang membawa kontena kargo menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang sebelum mengalami kebocoran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, tongkang tersebut diselamatkan oleh bot tunda selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

"Tongkang tersebut akhirnya berjaya ditunda ke pelabuhan.

"Kesemua kontena dalam tongkang juga dapat diselamatkan dalam keadaan yang baik," katanya.

Sebelum itu, sebuah klip video berdurasi satu minit lima saat tular di media sosial berhubung kejadian tersebut, dipercayai dirakam oleh nelayan.

Rakaman video tersebut mendapat 1,100 tanda suka dan dikongsi oleh 129 pengguna Facebook selain ditonton oleh 35,900 pengguna Facebook.