Thaipusam: Batu Caves dijangka terima sejuta pengunjung

Gambar fail.
Gambar fail.
A
A
A

SHAH ALAM - Sambutan Thaipusam di Selangor lebih meriah pada tahun ini apabila dijangka lebih sejuta penganut agama Hindu membanjiri tiga kuil tumpuan di negeri ini pada perayaan tersebut Ahad ini.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Selain Islam (HESI) negeri, V Ganabatirau, berkata ia berikutan selepas dua tahun sambutan perayaan itu diraikan secara sederhana dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat susulan pandemik Covid-19.

"Kami menjangka Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, akan menarik kehadiran kira-kira sejuta pengunjung terdiri daripada penganut Hindu, warga tempatan dan pelancong.

"Dua lokasi lain yang turut menjadi tumpuan di Selangor ialah Kuil Arulmigu Sri Subramaniar di Kerling dan Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor dengan anggaran pengunjung di dua lokasi tersebut seramai 20,000 serta 50,000 orang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau menyarankan pengunjung yang hadir pada sambutan berkenaan untuk memakai pelitup muka.

Ganabatirau berkata, kerajaan negeri juga akan memasang khemah di pekarangan kuil di Batu Caves bagi mengagihkan makanan dan minuman secara percuma kepada 10,000 pengunjung, bermula pada jam 6 petang hingga lewat malam, Sabtu ini.

"Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga dijangka hadir untuk menyerahkan bantuan kepada 10 hingga 30 kuil di kawasan itu," katanya.

Selain itu, beliau berkata. pelbagai persembahan kebudayaan akan diadakan selain jualan makanan 'vegetarian' di sekitar kuil di Batu Caves pada hujung minggu ini.

"Setiap peniaga dalam kawasan kuil itu dikawal oleh pihak kuil sendiri dan mereka hanya dibenarkan menjual makanan vegetarian sahaja. Bagaimanapun, peniaga di luar kawasan kuil diselia oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), saya sarankan mereka hanya menjual makanan jenis sama (vegetarian)," katanya.

Beliau turut menegaskan penjualan minuman keras tidak dibenarkan sama sekali.

"Pihak polis juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menjual minuman keras di sekitar kawasan kuil tersebut," katanya. - Bernama