Pertandingan penulisan manuskrip kreatif bawa mesej perpaduan

Gambar kiri: Nur Atika Anisa'. Poster pertandingan penulisan manuskrip kreatif.
Gambar kiri: Nur Atika Anisa'. Poster pertandingan penulisan manuskrip kreatif.
A
A
A

SHAH ALAM - Naskhah ‘Kita’ dengan anjuran kerajaan Selangor, Akademi Kepimpinan Wanita, Wanita Berdaya Selangor (WBS) buat pertama kalinya menganjurkan pertandingan penulisan manuskrip kreatif yang membawa tema mesej perpaduan dalam negara.

Pengarah Projek Pertandingan Naskhah 'Kita’, Nur Atika Anisa' Mohammad Ali, 33, berkata, pertandingan yang bermula pada 22 Januari hingga 20 Februari tahun ini diadakan bagi menyuntik semangat kreatif sekali gus menyebarkan perpaduan melalui penerbitan karya.

“Kita menyasarkan peserta daripada umur 12 tahun hingga 35 tahun. Jadi kita nak penulisan itu berbentuk kreatif.

“Kita terima seperti cerpen, novella atau puisi tetapi juga kita ada ekstra (kriteria) di mana kita nak penulisan kreatif seperti lukisan yang dibukukan dan karya-karya asli yang tidak plagiat di mana-mana,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Nur Atika berkata, penyertaan pertandingan tersebut boleh dilakukan secara individu dan berkumpulan yang berkapasiti maksimum seramai dua orang.

“Paling unik, kita mengharapkan penyertaan berkumpulan. Penyertaan berkumpulan mewakili pelbagai kaum akan mendapat markah bonus daripada juri,” ujarnya.

Menurutnya, pemenang tempat pertama berpeluang memenangi hadiah baucar tunai bernilai RM1,000 manakala tempat kedua pula memperoleh baucar tunai sebanyak RM500.

Ujarnya, tempat ketiga bakal memenangi baucar tunai bernilai RM300 sementara 12 pemenang saguhati akan menerima baucar tunai RM100.00.

Sementara itu, Nur Atika memberitahu, pertandingan itu bagi memberi keutamaan kepada penyertaan kali pertama, karya yang kreatif dan tidak pernah diterbitkan di mana-mana penerbitan.

“Setiap penyertaan ini haruslah dihantar secara bercetak kepada alamat yang kita berikan, supaya kita mahu manuskrip yang kita terima ini tulen dan bercetak,” jelasnya.

Borang penyertaan boleh didapati di pautan https://forms.gle/KUSw6ds4yv6rdy7t5.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi urusetia di talian 018-9715659 (Aniza) dan 011-36965769 (Hana).

Penyertaan hendaklah diserahkan selewat-lewatnya pada 20 Februari ke alamat 807, Batu 1, Jalan Kota Raja, 41000, Klang, Selangor.