[VIDEO] 'Ada sabotaj daripada orang UMNO'

Noh - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.
Noh - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mendakwa ada unsur sabotaj daripada orang UMNO sehingga menyebabkan pertemuannya bersama penyokong di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang pada Ahad terpaksa ditangguhkan.

Katanya, perjumpaan itu dibuat untuk meraikan rakan-rakan yang selama ini banyak membantu di kawasan Parlimen itu dan bukannya bersama UMNO semata-mata.

“Saya hanya nak jumpa kawan-kawan dan hendak ucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan selama ini. Saya kena mengenang budi terutamanya buat orang Tanjong Karang, sebab itu saya nak buat perjumpaan semalam (Ahad).

“Tapi nampaknya ada sabotaj daripada orang UMNO yang menelefon orang tertentu di atas. Saya tahu orang tersebut yang kemudiannya menghubungi orang LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan arahkan jangan benarkan perjumpaan itu diadakan.

“Padahal, itu bukan perjumpaan politik. Saya bukan wakil rakyat, bukan ahli UMNO atau mana-mana parti pun. Takkan saya nak buat majlis berjumpa rakyat?” katanya ketika ditemui selepas program Sinar Live bertajuk Dipecat UMNO: Lawan atau Move On? yang dikendalikan hos, Hazwan Mokhtar dan disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Pada Ahad, media melaporkan Noh dijadualkan mengadakan pertemuan di Dewan Tan Sri Noh Omar, dewan dinamakan sempena namanya yang terletak di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang.

Bagaimanapun, apabila penyokongnya tiba di dewan itu, mereka terkejut apabila melihat satu notis penangguhan di pintu pagar dan dimaklumkan dewan itu tidak boleh digunakan.

Sementara itu, Noh secara sinis berkata, tindakan itu dibuat mungkin kerana ada pihak yang berasa susah hati.

“Sepatutnya mereka gembira dan bertepuk tangan terutamanya bagi yang berangan nak jadi ketua bahagian. Patut mereka buat kenduri kesyukuran sebab saya dah dipecat.

“Kenapa pula takut saya nak berjumpa dengan orang Tanjong Karang untuk berterima kasih? Itu pun dihalang. Saya rasa terkilan kerana masih ada kumpulan-kumpulan yang takut dengan bayang-bayang,” jelasnya.