Segerakan undang-undang kawal selia penjualan vape

CCC mahu kerajaan menyegerakan undang-undang pintar bagi mengawal selia penjualan dan pemasaran produk vape. - Foto Bernama
CCC mahu kerajaan menyegerakan undang-undang pintar bagi mengawal selia penjualan dan pemasaran produk vape. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pilihan Pengguna (CCC) melahirkan kebimbangan terhadap penjualan produk rokok elektronik (e-rokok) atau vape kepada kanak-kanak bawah umur.

Justeru, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan atau mengurangkan risiko berlakunya kegiatan vape di bawah umur.

Wakil CCC, Tarmizi Anuwar mencadangkan agar kerajaan dapat menyegerakan undang-undang pintar bagi mengawal selia penjualan dan pemasaran produk vape.

“Pihak kerajaan perlu mewujudkan undang-undang yang berasingan daripada rokok atau memperluaskan skop undang-undang tembakau sedia ada bagi mengawal selia penjualan dan pemasaran vape.

“Kerajaan boleh memperkenalkan peraturan pintar dan menguatkuasakan sekatan umur yang ketat ke atas peranti vape dan cecair di tempat jualan dan menggunakan teknologi pengesahan umur moden untuk jualan dalam talian,” katanya pada Isnin.

Tarmizi menegaskan, ketiadaan undang-undang akan memudahkan kanak-kanak untuk mendapatkan vape daripada aktiviti pasaran gelap dan perdagangan haram.

“Undang-undang ini penting bagi memastikan pengguna dewasa mempunyai pilihan yang sah untuk memilih produk yang kurang berisiko dan memudaratkan serta beralih ke arah hidup yang lebih sihat.

‘’Pihak kerajaan juga tidak wajar menggunakan hujah ini untuk menghadkan akses kepada pengguna yang bertanggungjawab kerana sehingga kini masih belum terbukti mengenai laporan atau artikel yang menghubungkaitkan vape adalah gerbang kepada merokok,” jelasnya.