Terima banyak tawaran, KJ sedang pilih 'kelab' paling sesuai

Khairy Jamaluddin mengakui menerima banyak tawaran bukan sahaja daripada parti politik malah akademik, perniagaan dan korporat. - Foto Awani
Khairy Jamaluddin mengakui menerima banyak tawaran bukan sahaja daripada parti politik malah akademik, perniagaan dan korporat. - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas beberapa hari dipecat daripada UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui menerima banyak tawaran bukan sahaja daripada parti politik malah akademik, perniagaan dan korporat.

Begitupun, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan beliau belum membuat keputusan.

Menjadikan kelab bola sepak sebagai analogi, Khairy memaklumkan beliau bebas untuk membuat pilihan dan sedang melihat 'kelab' paling sesuai dengannya.

"Ya saya ada mendapat beberapa tawaran daripada pelbagai pihak daripada politik, akademik, perniagaan dan korporat.

"Saya belum buat keputusan lagi. Semua orang tahu saya suka bola sepak dan bebas untuk menukar haluan jadi saya sedang lihat ‘kelab’ yang sesuai dan menimbang pilihan dan peluang yang ada untuk maju ke hadapan.

"Belum ada keputusan apa-apa lagi, ini bukan satu yang mudah untuk ditukar begitu saja," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program The Breakfast Grille di radio BFM pada Isnin.

Bahkan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu tidak menolak kemungkinan untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Selepas 23 tahun berkhidmat untuk parti adalah sukar untuk memulakan satu yang baharu.

“Sukar untuk melupakan khidmat dalam politik. Saya tidak keluar (UMNO), sebaliknya saya 'dibuang' parti.

“Saya perlu buat pelarasan dengan realiti, dan memilih dengan berhati-hati,” katanya.

Ketika ditanya kriteria dicari beliau untuk menyertai parti politik lain, Khairy menegaskan ia mestilah selari dengan wawasannya sendiri untuk negara iaitu bersifat inklusif, progresif dan berkaitan dengan tadbir urus yang baik.

Pada Jumaat lalu, pucuk pimpinan UMNO memecat Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diadakan.

Selain dua pemimpin itu yang dipecat, beberapa pemimpin lain termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein digantung selama enam tahun. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN: Khairy tidak akan merayu pemecatan daripada UMNO

ARTIKEL BERKAITAN: 'Adakah tiada MKT UMNO boleh berfikir tindakan presiden salah?'

ARTIKEL BERKAITAN: PH beri pertimbangan terima pemimpin UMNO dipecat - Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Shahril sepatutnya jadi Ketua Pemuda UMNO’ - KJ

​​​​​​​ARTIKEL BERKAITAN: Gantung, pecat Noh, Khairy sah di sisi perlembagaan UMNO