Khairy tidak akan merayu pemecatan daripada UMNO

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap pemecatannya daripada parti itu.

Beliau berkata, tidak ada gunanya merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana individu yang mahu beliau keluar masih kekal dalam parti tersebut.

"Saya tidak akan merayu, jika merayu bermakna merayu kepada entiti sama yang memecat saya serta merta. Saya sudah berbincang dengan Noh (Tan Sri Noh Omar), bersama Shahril (Shahril Hamdan) apa gunanya untuk merayu.

"Saya hanya mahu pertandingan secara terbuka untuk jawatan tertinggi susulan prestasi buruk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya dalam program Breakfast Grille bersama BFM pada Isnin.

Mengenai langkah seterusnya atau prospek menyertai parti lain, Khairy berkata, beliau akan mengambil masa untuk memikirkannya.

Menurutnya, beliau menerima banyak tawaran dan jemputan namun masih memerlukan masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

“Saya mahu mengambil masa untuk memikirkan mengenai bila dan jika saya akan kembali ke politik,” katanya.