'Saingan Liga Malaysia lebih menarik, sukar dijangka'

Gallifuoco (kiri) percaya saingan Liga Super musim depan akan memberikan cabaran baharu kepada semua pasukan.
Gallifuoco (kiri) percaya saingan Liga Super musim depan akan memberikan cabaran baharu kepada semua pasukan.
A
A
A

PENGENALAN format Liga Malaysia musim 2023 dengan kempen Piala Malaysia akan dijalankan pada tempoh yang sama dengan Liga Super bakal memberikan cabaran baharu untuk semua pemain.

Situasi itu menuntut semua pemain sentiasa mengekalkan fokus mereka sepanjang musim sambil tidak boleh lagi hanya memilih untuk menumpukan kepada pertandingan tertentu.

Pertahanan Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco, berkata, dia melihat perubahan yang dibuat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan menjadikan saingan lebih menarik dan sukar dijangka.

Malah dia menjangkakan format ini akan memberikan impak positif tersendiri kepada peminat-peminat apabila semua pasukan sentiasa berada di tahap terbaik dalam tiap perlawanan.

“Perubahan yang dibuat oleh MFL ini akan menambahkan lagi kualiti liga kerana pemain tidak boleh ambil ringan sepanjang musim ini.

“Jika sebelum ini, Liga Super berakhir pada September dan mungkin ada pasukan sudah mencapai sasaran lebih awal seperti tidak berada di kedudukan tercorot, mereka mungkin sudah tidak lagi menumpukan perhatian dan hanya menunggu kejohanan Piala Malaysia.

“Jadi, melalui situasi ini, pasukan tiada pilihan selain perlu mengekalkan tahap kekuatan yang sama sepanjang musim untuk memastikan momentum mereka di kejohanan seperti Piala Malaysia serta Piala FA, tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al-Hafiz, melihat pengenalan semula Piala Cabaran yang diberikan nama Piala Cabaran MFL sebagai satu nafas baharu kepada saingan Liga Malaysia.

Bukan sahaja memberikan peluang kedua untuk pasukan tersingkir awal di pentas Piala Malaysia bagi meraih trofi tetapi turut memastikan semua pasukan memiliki jumlah perlawanan yang berterusan sehingga penghujung musim.

“Bagi saya sesuatu yang positif tentang Piala Cabaran MFL ini kerana semua pasukan tetap ada peluang untuk terus bermain walaupun terkeluar seawal pusingan pertama.

“Tidaklah sama seperti sebelum ini,apabila mana-mana pasukan tersingkir, mereka tidak ada lagi sebarang perlawanan kompetitif tambahan saingan Piala Malaysia dijalankan selepas Liga Super.

“Piala Cabaran MFL ini juga boleh jadi motivasi perhatian untuk mana-mana pasukan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu trofi sekiranya mereka gagal mara jauh dalam pertandingan lain, ” katanya.