Ke mana hala tuju pemimpin UMNO dipecat, digantung

Tindakan pemecatan Khairy (kiri) dan penggantungan keahlian Hishammuddin selama enam tahun menjadi tumpuan pada ketika ini.
Tindakan pemecatan Khairy (kiri) dan penggantungan keahlian Hishammuddin selama enam tahun menjadi tumpuan pada ketika ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Krisis dalaman melibatkan parti tertua Melayu iaitu UMNO itu bagai tidak berkesudahan susulan tindakan kepemimpinannya yang melakukan pembersihan secara besar-besaran pada Jumaat lalu.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuarat pada Jumaat telah memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti.

Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Langkah pembersihan itu pastinya memberi kesan besar bukan sahaja kepada UMNO dan parti-parti lawan lain, malah juga melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, tindakan dan hala tuju pemimpin UMNO yang terkesan akibat pembersihan parti itu sudah tentu menjadi tumpuan pada ketika ini.

Meskipun mereka yang telah dipecat atau digantung keahlian itu masih boleh membuat rayuan berhubung keputusan MKT UMNO tersebut, namun masih alternatif lain yang boleh dilakukan iaitu menyertai parti lain.

Pada Ahad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor bersikap terbuka dan bersedia menerima Noh dan beberapa lagi ahli parti itu yang dipecat dan digantung keahlian bagi memperkuatkan lagi jentera Perikatan Nasional (PN) di negeri berkenaan.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, kemasukan Noh yang mempunyai pengalaman politik luas mampu membantu jentera PN menghadapi PRN Selangor.

Menurutnya, Bersatu sentiasa berlapang dada demi penyatuan Melayu atas dasar perjuangan dan wadah sama dalam membela hak kaum itu di samping tidak menzalimi kaum lain.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan ramai pemimpin UMNO yang bakal meninggalkan parti itu secara besar-besaran dan mengikuti beliau sertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat.

Ujar Zahidi, hasrat itu telah disuarakan ramai pemimpin UMNO termasuk kelompok berjawatan tinggi di peringkat nasional kepadanya, susulan keputusan beliau bakal menghantar borang penyertaan memasuki PKR pada 4 Februari ini.

Ini menunjukkan bahawa parti-parti lain bersedia untuk menerima kemasukan ahli-ahli baharu dalam masa yang terdekat.

Sudah pasti, perkara tersebut akan memberi impak dan membawa transformasi baru terhadap pimpinan parti-parti lawan.