Roslin Hashim sedia bantu Zii Jia

Zii Jia gagal menyerlah dalam tiga kejohanan awal tahun ini. (Gambar dalam : ROSLIN HASHIM)
Zii Jia gagal menyerlah dalam tiga kejohanan awal tahun ini. (Gambar dalam : ROSLIN HASHIM)
A
A
A

BEKAS pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim bersedia untuk menjadi jurulatih Lee Zii Jia jika perseorangan profesional negara itu memerlukan khidmatnya.

Menurut Roslin, beliau tidak mempunyai sebarang halangan bagi membantu Zii Jia keluar daripada kemerosotan prestasi sejak kebelakangan ini.

“Saya tidak ada masalah untuk jadi jurulatih Zii Jia dan sedia membantu dia. Sebab saya pun pernah lalui seperti zaman dia... macam mana jatuh dan bangun.

“Sebelum ini, saya juga pernah melatih dia ketika Zii Jia berusia 13 tahun di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) tetapi itu perkara lama. Mungkin situasi sudah berbeza sekarang.

“Cuma sekarang ini terpulang kepada dia. Bagi sesiapa sahaja yang menjadi jurulatih Zii Jia, individu itu tidak boleh bagi jaminan (prestasi) dia akan naik balik.

“Tetapi sebagai jurulatih, individu itu kena cuba sebaik mungkin untuk naikkan kembali prestasi Zii Jia di tengah gelanggang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Zii Jia memulakan tahun 2023 dengan rentak negatif selepas terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia; Terbuka India (pusingan kedua) dan Masters Indonesia (pusingan kedua).

Sejurus tersingkir awal pada Terbuka Malaysia 2023, Zii Jia kekal dengan pendiriannya untuk bergerak solo tanpa khidmat jurulatih selepas berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Dalam pada itu, Roslin melihat keadaan akan lebih parah jika Zii Jia tidak mencari jurulatih dalam masa terdekat yang sekali gus akan terus memberikan kesan kepada prestasinya.

“Dia baru umur 24 tahun dan masih muda serta jauh perjalanan dia. Kita tengok selepas dia tidak ada jurulatih agak bergelut untuk berada pada prestasi terbaik.

“Bagi saya, mungkin dari segi psikologi tergangu dan sebagainya. Tetapi, apa yang dia rasa dia je yang tahu dan dia sahaja yang boleh buat keputusan apa tindakan seterusnya.

“Sebagai orang luar, kita sekadar hanya boleh bagi nasihat kepada Zii Jia. Zii Jia juga kena fikir mengenai kerjaya dia kerana pihak penaja akan tengok keputusan setiap perlawanan,” ujarnya.