Sukan Asia Hangzhou 2022 ikut jadual

Datuk Chong Kim Fatt - Foto Bernama
Datuk Chong Kim Fatt - Foto Bernama
A
A
A

TEMASYA Sukan Asia Hangzhou 2022 yang sebelum ini ditunda gara-gara pandemik Covid-19 hampir pasti diadakan tahun ini mengikut tarikh ditetapkan.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2023, Datuk Chong Kim Fatt berkata, tuan rumah, China sudah bersedia untuk menganjurkan temasya sukan terbesar di Asia itu.

Malah, beliau turut dimaklumkan, temasya kali ini dijangka tidak akan dilangsungkan menerusi kaedah gelembung sukan, sebaliknya berlangsung sama seperti edisi sebelum ini.

“Keputusan dijangka diketahui Mac ini, namun saya boleh kongsikan persediaan tuan rumah sudah untuk menganjurkan temasya pada kali ini sudah 100 peratus.

“Saya juga difahamkan Sukan Asia ini tidak akan dianjurkan dalam gelembung sukan kerana untuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Majlis Olimpik Asia (OCA) mereka tidak suka dengan cara itu.

“Mereka mahu temasya ini berjalan seperti biasa kerana sekiranya tidak, ia akan jadi seperti Olimpik Tokyo yang rugi kerana tak boleh jual tiket, dan kedudukan kewangan penganjur akan berdepan masalah,” katanya.

Untuk rekod, Sukan Asia edisi ke-19 itu yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 25 September 2022 ditunda ke tarikh baharu dari 23 September hingga 8 Oktober 2023.