Nurul Izzah dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM

NURUL IZZAH
NURUL IZZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendedahkan beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi wawancaranya bersama The Star, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu bahawa pelantikannya berkuat kuasa pada 3 Januari lalu.

Beliau dalam masa sama berharap agar pengalamannya sebagai ahli Parlimen sebelum ini, menumpukan dalam isu kemiskinan, pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) selain perkhidmatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara akan memberi manfaat padanya.

“Perkara ini boleh dimanfaatkan dalam penglibatan saya dengan pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar polisi,” katanya.

Nurul Izzah menambah, salah satu matlamatnya adalah bagi memanfaatkan bakat-bakat terbaik Malaysia dalam dan luar kerajaan selain mahu memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.

“Peranan baharu ini membolehkan saya memikul tanggungjawab baharu yang sudah pasti mencabar, berikutan masalah ekonomi kita hadapi.

“Bagaimanapun, saya yakin mampu menyumbang kepada evolusi Malaysia yang bukan sahaja mencari pertumbuhan demi pertumbuhan tetapi turut memartabatkan semua lapisan masyarakat dan menyediakan kesaksamaan dalam peluang,” ujarnya.