Keputusan Ahmad Zahid pecat, gantung ahli dibantah

Ahmad Zahid - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tetap mengambil tindakan walaupun pemimpin UMNO memberi amaran beliau tidak mengikut proses sewajarnya tentang isu pemecatan dan penggantungan.

The Star yang memetik sumber berkata, lima ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membantah keputusan Ahmad Zahid manakala tiga bersetuju dengannya dalam mesyuarat yang berlangsung pada Jumaat malam.

“Ahmad Zahid dalam ucapan pembukaannya membuat pengumuman mengenai pemecatan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan menyenaraikan (ahli yang) digantung daripada parti.

“Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar segera bangun dan meminta beliau dipecat daripada digantung selama enam tahun.

“Ahmad Zahid kemudiannya membalas, ‘kalau mahu begitu, jadilah’,” katanya.

Sumber itu berkata, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah berdiri dan berhujah bahawa pemecatan dan penggantungan mesti dibuat mengikut undang-undang dan proses sewajarnya.

Kata Ismail Sabri, mereka yang tersenarai perlu diberi surat tunjuk sebab terlebih dahulu, hak membela diri di hadapan lembaga disiplin dan kemudiannya rayuan kepada pengurusan sebelum MKT membuat keputusan.

“Ismail Sabri berkata menggantung dan memecat pemimpin serta ahli UMNO tanpa surat tunjuk sebab adalah tidak adil kerana mereka tidak dapat membela diri dan tidak tahu sebab dipecat.

“Beberapa ahli MKT lain, termasuk Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Armand Azha Abu Hanifah turut bersuara menyatakan ketidaksetujuan mereka kerana ia tidak mengikut proses yang sewajarnya seperti termaktub dalam perlembagaan UMNO.

“Mereka berhujah bahawa UMNO akan menanggung akibat kerana tidak mengikut proses yang sewajarnya dan ini seterusnya akan membawa kepada tindakan balas terhadap UMNO semasa pilihan raya apabila akar umbi mengundi sebagai protes.

“Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merayu Ahmad Zahid untuk menunjukkan belas kasihan kepada Khairy,” jelas sumber itu.

Akhbar itu turut memetik sumber lain yang mendakwa Ahmad Zahid secara teorinya mempunyai kuasa untuk menjadi autokratik di bawah Perlembagaan UMNO.

“Cuma, memandangkan pemimpin UMNO sentiasa berbincang sebelum membuat sebarang keputusan besar yang menjejaskan parti, ia mengejutkan banyak pihak apabila beliau terus mengumumkannya kepada MKT dan kemudian kepada orang ramai,” kata sumber terbabit.

Pada Jumaat, MKT memutuskan memecat Noh dan Khairy Jamaluddin kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun seperti Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.