Jualan gudang peluang tambah koleksi buku lama, baharu

Para pengunjung yang hadir tanpa mengira lapisan umur dan kaum, ralit mentelaah buku pilihan masing-masing. (Gambar dalam Mohd Hussin dan Nur Syahidah)
Para pengunjung yang hadir tanpa mengira lapisan umur dan kaum, ralit mentelaah buku pilihan masing-masing. (Gambar dalam Mohd Hussin dan Nur Syahidah)
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2023 umpama ‘syurga ilmu’ apabila menawarkan pelbagai koleksi buku lama dan baharu yang tidak boleh diperoleh di kedai lain.

Ia sekali gus memberikan rasa keterujaan kepada pencinta buku untuk menambah koleksi mereka.

Seorang guru, Nur Syahidah Sazali, 33, berkata, dia berasa gembira dan teruja kerana berjaya mendapatkan semua buku yang diingini sejak sekian lama.

“Saya telah pergi ke beberapa kedai sebelum ini tetapi buku yang dicari tidak dijumpai. Jadi, saya ambil keputusan untuk datang ke sini dan akhirnya menemui buku tersebut.

“Gembira sangat sebab dapat menambah koleksi buku dan bahan bacaan tambahan untuk seisi keluarga,”ujarnya pada Ahad.

Aktiviti pertandingan mewarna di Jualan Gudang Karangkraf 2023
Aktiviti pertandingan mewarna di Jualan Gudang Karangkraf 2023

Menurutnya, sebelum ke jualan gudang itu, dia membuat senarai buku pilihan yang ingin dibeli untuk mengelak daripada berlakunya pembaziran.

“Saya mendisiplinkan diri dengan membuat senarai buku yang ingin dibeli terlebih dahulu. Secara tidak langsung, saya dapat berbelanja dengan bijak dan mengelakkan diri daripada membeli dengan semberono,”ujarnya.

Sementara itu, dia berharap agar jualan gudang itu dapat diadakan dalam jangka masa yang lebih panjang agar dapat memberikan peluang kepada semua penggemar buku untuk berkunjung ke situ.

“Ramai kenalan saya yang tinggal di sebelah utara tidak dapat berkunjung ke sini ekoran jualan ini hanya dijalankan lebih kurang seminggu lebih. Oleh itu, saya telah mengambil inisiatif untuk mengambil pesanan buku yang mereka gemari,” ulasnya.

Dalam pada itu, seorang guru yang tinggal di Tanjung Karang, Mohd Hussin Yahya, 42, dia memilih jualan gudang yang diadakan di Kompleks Karangkraf adalah kerana fasiliti yang disediakan sangat memuaskan.

“Fokus utama saya sememangnya adalah untuk menambah koleksi buku lama dan baharu kerana saya mempunyai perpustakaan mini di rumah.

“Namun, pada masa yang sama, saya datang ke sini kerana fasiliti yang disediakan adalah sangat memuaskan terutamanya daripada segi tempat meletak kenderaan, ruang solat dan gerai makanan.

Tambahnya lagi, beliau berharap pada masa akan datang, jualan gudang itu akan menyediakan lebih banyak buku yang menarik untuk kanak-kanak.

“Kepelbagaian genre buku cerita kanak-kanak seperti kisah teladan, kisah Nabi, cerita rakyat, kisah dongeng dan sebagainya harus diperbanyakkan untuk menarik minat mereka semasa membaca,” ulasnya.

Bagi seorang pengunjung, June Staphon, 29, memberitahu, dia sanggup membelanjakan RM300 untuk membeli novel bagi melengkapkan koleksi bukunya di rumah.

“Saya mendapat tahu jualan gudang ini daripada seorang kawan dan ini adalah kali pertama saya datang. Apabila sampai di sini, saya sangat teruja melihat pelbagai jenis koleksi buku yang telah lama dicari.

“Jadi, hari ini saya sanggup berbelanja lebih dan merancang untuk datang lagi. Berbaloi sangat kerana harga yang ditawarkan sangat murah, selain buku yang dijual juga berkualiti dan baharu,” ujarnya.

Pengunjung berpeluang bertemu mesra bersama Izzad Daniel (kanan), penulis Buku Peluang Kedua.
Pengunjung berpeluang bertemu mesra bersama Izzad Daniel (kanan), penulis Buku Peluang Kedua.

Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar, menjelaskan, pihaknya akan menambah lagi jenis buku bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung.

“Ini kerana, masih ramai yang meminati buku secara fizikal. Oleh itu, kami tidak akan berhenti dalam menerbitkan lebih banyak buku.

“Selain itu, harga yang ditawarkan oleh kami di sini, tidak akan sama dengan jualan buku di luar sana. Semua pengunjung yang gemar membaca, masih mempunyai peluang untuk datang ke sini sehingga 6 Februari ini,” jelasnya.