UMNO lantik pentadbir di dua bahagian terlibat penggantungan

Ahmad Maslan ( tiga dari kiri) merasmikan tangki air baharu Benut di Jalan Wawasan, Pontian pada Ahad.
Ahmad Maslan ( tiga dari kiri) merasmikan tangki air baharu Benut di Jalan Wawasan, Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Pemilihan UMNO di semua peringkat bermula Rabu ini, tetap dilaksanakan meskipun terdapat bahagian yang digantung.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bagi memastikan pemilihan tidak terganggu, UMNO melantik pentadbir bahagian yang akan mengendalikan pemilihan di bahagian yang terlibat.

"UMNO Bahagian yang digantung cuma Arau di Perlis dan Tanah Merah, Kelantan setakat ini. Pemilihan membabitkan kedua-dua bahagian ini tetap akan dilaksanakan.

"Pemilihan kedua-dua bahagian tersebut akan diuruskan oleh pentadbir bahagian yang dilantik. Datuk Rozabil Abdul Rahman telah diumum dan dilantik sebagai pentadbir UMNO Bahagian Arau," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian Tangki Air Baharu Benut di Jalan Wawasan, Benut di sini pada Ahad.

Pada 5 Januari tahun ini, UMNO dilapor menggantung UMNO Bahagian Arau berikutan wujudnya pelbagai perbuatan sabotaj terhadap parti itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO Bahagian Tanah Merah pula digantung, berkuat kuasa pada 16 Jun 2020 dan kini bahagian itu ditadbir jawatankuasa sementara.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pemilihan UMNO membabitkan 191 bahagian dan 22,000 cawangan akan diadakan bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac ini.

"Pindaan dalam Perlembagaan UMNO menyebut segalanya hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas pembuangan undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu," katanya.

Mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan akan berlangsung sehingga 26 Februari iaitu selama 26 hari.

Seterusnya, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac

Sementara mesyuarat perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.