Ten Hag terkesima aksi Casemiro

Casemiro meledak dua gol ketika menentang Reading dalam aksi Piala FA pada Ahad.
Casemiro meledak dua gol ketika menentang Reading dalam aksi Piala FA pada Ahad.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag mengakui terkejut dengan persembahan dipamerkan Casemiro selepas pemain Brazil itu menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Reading dalam aksi Piala FA pada Ahad.

Dalam aksi di Old Trafford itu, United terpaksa menunggu sehingga minit ke-54 untuk memecahkan kebuntuan gol menerusi Casemiro sebelum bekas pemain Real Madrid itu menambah gol kedua empat minit berselang.

Fred kemudian memastikan kemenangan United menerusi gol ketiga pada minit ke-66 dan Reading mendapat gol saguhati menerusi Amadou Salif Mbengue pada minit ke-72.

Casemiro setakat ini telah menjaringkan empat gol dan lima bantuan gol sejak menyertai United pada Ogos tahun lalu.

"Ya. Kami tahu dia seorang pemain yang hebat. Dia terbukti sangat hebat di bahagian tengah ketika bermain bersama Real dengan beberapa pemain seperti Toni Kroos dan Luka Modric.

"Saya fikir dia mampu melakukannya (mencipta ancaman kepada lawan). Kami melihat secara ofensif dia adalah sebahagian daripadanya, dan dia menikmatinya apabila dia boleh masuk untuk menyerang.

"Apa yang saya suka ialah bola sepak dinamik dengan variasi dan banyak pertukaran kedudukan, jadi kami perlu membuat lawan berfikir, supaya kami boleh memanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Dalam pada itu, kapten United, Harry Maguire turut memuji pemain tengah itu dengan transformasi yang telah dilakukannya dalam beberapa aspek.

"Dia telah melakukan berdasarkan apa faktor dia dibawa masuk ke kelab ini. Dia seorang pemain yang luar biasa sepanjang kariernya. Anda tidak akan memenangi apa yang dimenanginya tanpa menjadi pemain terbaik.

"Dia telah meningkatkan kualiti pasukan, meningkatkan semangat dan meningkatkan prestasi, dan sangat bagus untuk memilikinya," katanya.