Peniaga bazar Ramadan diingatkan jaga kebersihan

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) meminta peniaga menjaga dan menitikberatkan kebersihan semasa menjalankan perniagaan di semua bazar Ramadan di daerah ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, kebersihan merupakan faktor yang paling penting bagi pengendali makanan mengendalikan perniagaan makan dan minum.

Katanya, kejadian penyakit bawaan air dan makanan dikhuatiri merebak dengan mudah daripada makanan dan minuman yang mungkin kurang bersih dibeli pengguna di bazar Ramadan.

"Antara faktor penyumbang makanan dan minuman tercemar, ialah makanan terdedah lalat, sikap peniaga kurang menjaga kebersihan dan tiada bekalan air selamat.

"Sehubungan itu, kita akan melaksanakan operasi penguatkuasaaan gerai-gerai bazar Ramadan demi memastikan peniaga sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sampah dibuang ke dalam tong disediakan," katanya. Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Program Perjumpaaan Datuk Bandar dengan Komuniti Perniagaan sempena Bazar Ramadan 2019 di Dewan MBAS, di sini, semalam.

Menurut beliau, tindakan pembersihan tapak bazar Ramadan akan turut dilaksanakan demi memastikan peniaga sentiasa berkeadaan bersih dan dan selamat untuk berniaga.

Katanya, peniaga diharapkan bersama-sama menjaga kebersihan sekitar, meskipun E-Idaman akan melakukan pembersihan tapak-tapak Bazar Ramadhan selepas tamat perniagaan.

Mohd Zohdi berkata, beliau berharap peniaga di Bandaraya Alor Setar ini dikenali dengan penjualan yang bukan sahaja dengan harga yang berpatutan, malah kualiti sangat baik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia berikutan bazar Ramadan di sekitar Bandaraya Alor Setar akan menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa setiap bulan puasa.

"Pada tahun ini, kita menyediakan 1,938 petak di sekitar Alor Setar meliputi 866 tapak berkhemah dan 1,072 tapak tidak berkhemah," katanya.

Mohd Zohdi berkata, sebanyak 10 tapak turut disediakan kepada peniaga-peniaga Food Truck bagi penempatan di kawasan tapak makanan di Stadium Darul Aman.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zohdi berkata, MBAS bersama SW Corp melancarkan kempen Kitar Semula dan Pelancaran Kad Recycle for Life dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik, penyedut minuman dan larangan penggunaan polisterina.

"Untuk itu, kita menyarankan peniaga untuk mengurangkan pembuangan sampah yang masih boleh digunapakai, sebagai contohnya plastik dan kertas, yang mana ia boleh dikitar semula," katanya.

Katanya, pihaknya berharap kempen berkenaan dapat merealisasikan hasrat untuk bersama-sama menjaga persekitaran dengan baik dan bersih.