Israel-Palestin kembali tegang

Keganasan di Tebing Barat terus memuncak sejak rejim Zionis memperluaskan operasi mereka. - Foto AFP
Keganasan di Tebing Barat terus memuncak sejak rejim Zionis memperluaskan operasi mereka. - Foto AFP
A
A
A

RAMALLAH - Konflik Israel-Palestin dilaporkan kembali meningkat selepas tentera rejim Zionis menembak mati sembilan penduduk Palestin ketika serbuan di wilayah Tebing Barat yang disifatkan sebagai hari paling berdarah dalam tempoh dua dekad.

Situasi tersebut telah mencetuskan kebimbangan terhadap Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu rapat rejim Tel Aviv jika ia berpotensi menjadi lebih buruk hingga membawa kepada peperangan baharu setelah Israel dan Palestin saling berbalas serangan udara dan bedilan roket.

Bagi meredakan keadaan, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dijangka mengadakan lawatan ke Asia Barat pada Ahad untuk membincangkan perkembangan krisis tersebut.

Kunjungan itu diumumkan beberapa jam selepas komando Israel menembak dua orang awam termasuk warga emas berusia 61 tahun di Tebing Barat.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi alasan operasi tersebut dilakukan pada siang hari kerana maklumat risikan yang diperoleh mereka mendakwa sebuah sel yang dikaitkan dengan kumpulan Jihad Islam merancang untuk melancarkan serangan.

Sebagai tindak balas terhadap tindakan ganas rejim Zionis, Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mentadbir sebahagian kawasan di Tebing Barat mengumumkan ia menggantung kerjasama keselamatan dengan rejim Tel Aviv.

Konflik itu turut merebak ke Baitulmaqdis yang digemparkan dengan insiden serangan bersenjata dan Israel menuding jari menyalahkan penduduk Palestin.

Dua cedera ditembak beberapa jam selepas tujuh dilaporkan terbunuh di luar rumah ibadat Yahudi di Kota Lama itu.

Polis Israel turut menahan seramai 42 suspek yang dipercayai ada kaitan dengan serangan ke atas synagogue tersebut.

Ketika ini, pasukan keselamatan Israel diletakkan pada tahap berjaga-jaga 'peringkat tertinggi' dan dikhuatiri akan menyaksikan lebih banyak kematian penduduk Palestin di wilayah berkenaan.

Sekurang-kurangnya 26 penduduk Israel dan 200 penduduk Palestin terkorban pada tahun lalu yang mana sebahagian besar daripadanya berlaku di Tebing Barat. - Agensi